
PENYERANG Harimau Malaya, Romel Morales menjadi tumpuan selepas gagal menyerlah dalam kemenangan 3-0 Malaysia ke atas Laos bagi saingan Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional New Laos, Vientiane pada Khamis.
Morales yang diberi kepercayaan mengemudi jentera serangan selama 82 minit, dilihat bergelut di hadapan gol apabila beberapa peluang terhidang gagal dimanfaatkan termasuk percubaan yang tersasar jauh atau terus ke dakapan penjaga gol Laos, Kop Lokphathip.
Prestasi hambarnya mengundang kritikan dalam kalangan penyokong setia Harimau Malaya, apatah lagi pemain kelahiran Colombia itu sebelum ini sering menjadi sandaran utama pengendali kebangsaan, Peter Cklamovski dalam persahabatan menentang Singapura dan Palestin pada September lalu.
BACA LAGI: Tanpa TMJ, bola sepak Malaysia sudah lama berakhir — Peter Cklamovski
Persembahan Morales menerima kritikan daripada penyokong tempatan. — Facebook/Malaysia NT
Meskipun cuba memainkan peranan sebagai ‘target man’, gaya permainan Morales yang kurang bergerak aktif dan jarang melakukan larian berbahaya nyata tidak cukup mengancam pertahanan Laos.
Penyudahnya yang lemah turut menonjolkan kelemahan dalam membuat keputusan di kawasan kritikal.
Walaupun turut terlibat dalam usaha memberi tekanan kepada benteng pertahanan lawan, kegagalannya menjaringkan gol dianggap satu kerugian besar lebih-lebih lagi apabila Harimau Malaya mencipta banyak peluang sepanjang perlawanan.
Susulan prestasi hambarnya itu, ramai peminat tempatan tidak menyembunyikan kekecewaan mereka terhadap prestasi Morales.
Faisal Halim menjaringkan gol ketiga buat skuad Harimau Malaya. — Facebook/Malaysia NT
Antara kritikan yang diberikan termasuk aspek ‘first touch’, hantaran dan pergerakan yang dianggap mengecewakan.
“Kalau begini prestasi penyerang utama, memang pening kepala Coach Peter. Mungkin aksi seterusnya beri peluang pula kepada Paulo Josue atau Jordan Mintah,” kata Irfan Azim.
"Bukan agak lemah tapi memang tiada impak, sikit-sikit jatuh, patut tarik keluar lebih awal lagi sebab sudah sampai half time tapi masih tak perform, rugi," kata Abd Razak Awang.
"Berat, fizikal saja tinggi tapi slow dan tiada kemampuan nak shooting, lepas ini bagi rehat dulu, biar Mintah atau Josue masuk dulu, lepas Morales keluar baru nampak serangan demi serangan dari Malaysia," kata Fazrol Jusoh.
Kritikan terhadap Morales kini menjadi cabaran buat Cklamovski dalam menentukan siapa yang layak mengisi posisi penyerang utama menjelang aksi penting akan datang.
Dengan kapten Kuala Lumpur City FC, Paulo Josue dan penyerang berbisa Kuching City FC, Jordan Mintah mula disebut-sebut sebagai calon sesuai, jurulatih dari Australia itu mungkin perlu membuat perubahan demi memastikan ketajaman jentera serangan Harimau Malaya berada pada tahap terbaik.
Selepas ini, Malaysia akan menerima kunjungan Laos dalam aksi timbal balik di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 14 Oktober. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram