
SEORANG pemandu dari Singapura berkongsi pengalaman tidak menyenangkan ketika mengunjungi salah sebuah pusat cuci kereta di Johor Bahru yang kini tular di media sosial.
Menurut dakwaan individu tersebut, dia telah menolak tawaran untuk menaik taraf perkhidmatan cucian keretanya kepada cucian water wax yang jauh lebih mahal.
Menerusi video yang dikongsikan di laman Instagram miliknya, apabila dia menolak, pekerja di pusat berkenaan enggan mencuci keretanya dengan alasan kononnya tidak cukup pelanggan dan mereka hanya akan menyediakan perkhidmatan water wax pada hari tersebut.
BACA LAGI: [VIDEO] Pemandu van tidak cermat didenda RM8,000, langgar 6 kenderaan di stesen KTM Ipoh
BACA LAGI: Tanpa TMJ, bola sepak Malaysia sudah lama berakhir — Peter Cklamovski
“Saya cuba untuk beredar, tapi mereka jadi agresif. Ada yang tarik pintu kereta saya supaya tak boleh tutup dan memaksa saya padam video yang saya rakam,” katanya dalam hantaran yang turut mengandungi amaran kepada pemandu Singapura.
Lelaki itu turut mendedahkan nama dan lokasi pusat cuci kereta berkenaan iaitu Alam Shah Car Wash yang terletak bertentangan stesen minyak Shell Pelangi, Johor Bahru.
Tambahnya lagi, kebanyakan pusat cuci kereta di JB menawarkan cucian asas pada harga sekitar RM12 hingga RM15, namun tidak sedikit yang menggunakan taktik upselling dengan memaksa pelanggan mengambil perkhidmatan tambahan seperti cucian water wax yang dikenakan bayaran sehingga RM85.
Taktik tersebut disifatkan oleh sebahagian pelanggan sebagai penipuan terancang yang memerangkap mereka, terutamanya pelancong atau pemandu luar negara yang kurang biasa dengan selok-belok perkhidmatan tempatan.
Perkongsian itu mendapat perhatian ramai, dengan warga maya berkongsi pengalaman serupa dan mengecam tindakan pekerja pusat cuci kereta berkenaan.
“Apa yang brother ini dedahkan memang betul. Kalau tak ambil water wax, muka pekerja terus berubah. Bila cuci pun macam nak tak nak saja. Sekarang dah malas nak pergi cuci luar, tapi masalahnya hampir semua tempat dia orang yang ‘control’, kenalah hadap perangai kerek macam ni,” tulis pengguna lain menerusi laman Facebook Mynewshub.
Insiden tersebut menjadi peringatan buat orang ramai, terutamanya pelancong dan pemandu luar agar lebih berhati-hati dan memastikan maklumat harga serta jenis perkhidmatan dipersetujui dengan jelas sebelum kerja dilakukan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram