[VIDEO] Rempuh papan iklan, bintang bola sepak di China patah tulang leher, berisiko lumpuh seumur hidup


  • Podium
  • Khamis, 09 Okt 2025

Tangkap layar menunjukkan detik Asamoah dirempuh pemain lawan sebelum kepalanya terhantuk pada papan iklan LED di tepi padang.

PEMAIN bola sepak kebangsaan Togo, Samuel Asamoah berdepan risiko lumpuh selepas mengalami patah tulang leher dan kerosakan saraf apabila kepalanya terhantuk pada papan iklan LED di tepi padang dalam aksi China League One pada 5 Oktober lalu.

Insiden ngeri itu berlaku ketika perlawanan antara pasukannya, Guangxi Pingguo FC dan Chongqing Tonglianglong FC apabila Asamoah ditolak oleh pemain lawan dalam perebutan bola, lalu terjatuh sehingga kepalanya menghentam papan iklan elektronik di luar garisan padang.

Rakaman video perlawanan menunjukkan insiden tersebut berlaku dengan pantas dan tidak disengajakan.

BACA LAGI: ‘Dia banyak membantu’, bintang import Terengganu dipilih legenda JDT dalam BEST XI minggu ke-7 Liga Super

BACA LAGI: [VIDEO] ‘Layak digelar legenda’, trio import double treble seru fans penuhkan Darul Aman, ‘tribute’ buat Azraai-Ahmad Basri Akil

Susulan kejadian, Asamoah yang berusia 31 tahun itu segera dibawa ke hospital dan disahkan mengalami kecederaan serius melibatkan tulang leher serta saraf tunjang.

Dalam kenyataan rasmi kelab Guangxi Pingguo, mereka memaklumkan bahawa Asamoah telah menjalani pembedahan segera dan kini berada dalam keadaan stabil.

“Asamoah berisiko mengalami paraplegia tahap tinggi dan pasti akan terlepas baki musim ini. Malah, kerjayanya mungkin terjejas secara serius,” kata kenyataan tersebut.

Kelab turut merakamkan penghargaan kepada penyokong dan komuniti bola sepak yang mendoakan kesihatan Asamoah dan memaklumkan perkembangan pemulihannya akan dikemas kini dari semasa ke semasa.

Asamoah, yang pernah beraksi di Belgium untuk sebahagian besar kariernya, berhijrah ke China pada tahun lalu.

Menurut laman statistik bola sepak Transfermarkt, dia telah membuat enam penampilan bersama skuad kebangsaan Togo.

Dalam kejadian itu, pasukan Guangxi Pingguo terpaksa menelan pahit apabila tewas 1-2 di tangan lawan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram