[VIDEO] 'Teruknya, harap ada CCTV’, berderet kereta remuk di KTM Ipoh, punca masih jadi misteri


  • Tular
  • Ahad, 05 Okt 2025

Tangkap layar tiga kereta mengalami kerosakan teruk di bahagian bampar belakang.

TULAR di media sosial rakaman memaparkan beberapa kereta remuk di kawasan tempat letak kenderaan berhampiran Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) Ipoh, Perak mencetuskan tanda tanya dalam kalangan warganet apabila punca kejadian masih belum diketahui.

Menerusi hantaran dimuat naik laman Facebook Perak Press, kejadian dipercayai baru berlaku di kawasan tersebut dengan kapsyen ringkas 'teruknya, katanya baru berlaku dekat KTM Ipoh tadi (Ahad). Harap ada CCTV sekitar situ'. 

Video berdurasi 38 saat itu menunjukkan tiga buah kereta, masing-masing jenis Honda, Toyota dan Proton mengalami kerosakan teruk di bahagian bampar belakang, seolah-olah dirempuh dengan kuat.

BACA LAGI: Ibu mentua pemain Malaysia ditahan terlibat kes palsu cop pasport

BACA LAGI: JPJ perlu bantu remaja luar bandar ambil lesen memandu demi kelayakan BUDI95 — NGO Kedah

Bagaimanapun, tidak kelihatan sebarang individu di lokasi kejadian, sekali gus menimbulkan pelbagai spekulasi di ruang komen mengenai faktor insiden misteri berkenaan. 

Terdapat warganet yang mendakwa kemalangan mungkin berpunca daripada pemandu yang hilang kawalan, manakala segelintir lain pula percaya bahawa ia mungkin kes langgar lari.

"Pemandu ada lesen ke. Warganegara mana. Mungkinkah penyewa. Perlu ada ketegasan…bkn setakat saman saja," kata pengguna Facebook, Nurul Syakir.

"CCTV pejabat pos tiada ke," soal warganet, Lela Alza. 

Setakat ini, tiada pengesahan rasmi daripada pihak polis atau pengurusan KTM mengenai insiden tersebut.

Orang ramai berharap rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berkenaan dapat membantu mengenal pasti punca sebenar kejadian dan pihak bertanggungjawab di sebalik kerosakan kenderaan tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram