[VIDEO] Tahap kebersihan Semporna ditegur pelancong asing, PBT perlu bertindak segera demi imej Tahun Melawat Malaysia 2026


  • Tular
  • Rabu, 01 Okt 2025

Tangkap layar dari video pelancong itu menceritakan tahap kebersihan di Semporna.

KEINDAHAN flora dan fauna serta ketenangan dari suasana hiruk pikuk membuatkan Sabah menjadi antara destinasi pelancongan, baik dalam kalangan pelancong tempatan mahupun luar negara.

Ini dikuatkan lagi menerusi statistik pada 2024 yang mendapati 923,709 pengunjung ke negeri tersebut sepanjang tahun dengan 366,727 daripadanya adalah dari luar negara.

Tetapi, masih terdapat pelbagai isu dibangkitkan apabila pelancong berdepan pengalaman kurang enak ketika menetap sekitar Negeri di Bawah Bayu itu.

BACA LAGI: Dewan Rakyat: Kes Zara Qairina, jangan sembunyi fakta — MP Semporna

BACA LAGI: [VIDEO] Tindakan pantas pemandu pelancong selamatkan 6 mangsa bot terbalik di Semporna

Masalah tersebut turut diluahkan seorang pengunjung yang berkongsi suasana kotor ketika melalui kawasan penduduk di Semporna, Sabah yang sepatutnya dihiasi keindahan alam.

Berdasarkan perkongsian di laman TikTok Backpacker Ben, pelancong dipercayai dari Eropah berkenaan kelihatan kecewa berhubung tahap kebersihan di daerah itu.

"Inilah jeti yang mana pengunjung akan memulakan perjalanannya dan saya tidak mahu membayangkan bagaimana keadaan destinasi ingin kami tuju. Saya boleh katakan ini merupakan antara lima tempat paling kotor pernah saya jejaki," katanya.

Pelancong tersebut merakam bagaimana persisir pantai di Semporna dipenuhi sampah sarap seperti botol plastik, tayar terpakai serta kepingan plastik yang dibuang penduduk setempat.

Perkongsian itu menerima tumpuan orang ramai, terutamanya penduduk Sabah yang mahu pihak berkuasa tempatan (PBT) agar menyelesaikan masalah kebersihan di kawasan terbabit.

Semporna yang dikenali sebagai kawasan pelancongan masih perlu dijaga dan dipelihara.

"Kasilah bersih tempat itu, barulah diuar-uarkan. Nanti orang luar komen dengan jujur, kita pula sakit hati. Saya orang Sabah, tetapi tolonglah buat sesuatu dan saya tahu Semporna ada banyak pulau cantik, jadi perlu juga jaga kebersihan," kata Asmini Asman.

"Kerajaan negeri Sabah buat apa ya? Tak mahu nak tetapkan penguasaan? Kalau tak buat di tempat lain, sekurang-kurangnya kawal tempat tumpuan pelancong, siapa wakil rakyat di Semporna?" kata Irmaz Zamri.

"Majlis daerah, tolonglah cari usaha untuk bersihkan. Kalau sudah bersih, seganlah penduduk di situ untuk buang sampah. Kalau buang juga, boleh saman," kata Doren A Azlan.

Usaha memastikan Sabah dan negeri lain dalam Malaysia kekal bersih perlu dikuatkuasakan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 yang menyasarkan 40 juta pelancong antarabangsa.

Tetapi, sekiranya pihak berkuasa terus membisu berhubung masalah itu, pengunjung, termasuk dalam golongan domestik tidak akan lagi tertarik untuk melawat kawasan tumpuan pelancongan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram