
ARENA bola sepak tempatan digemparkan dengan hukuman FIFA ke atas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung kesalahan melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA berhubung kehadiran tujuh pemain warisan.
Dari kesemua pemain itu, tiga daripadanya iaitu Hector Hevel, Jon Irazabal dan Joao Figueiredo yang kini beraksi buat kelab Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan masing-masing sudah menjadi tonggak utama pasukan.
Hukuman badan bola sepak antarabangsa itu menyaksikan semua pemain tersebut diarahkan membayar denda selain digantung selama 12 bulan daripada terlibat dalam segala aktiviti bola sepak yang pasti menjadi tamparan hebat kepada skuad Harimau Selatan.
BACA LAGI: 'FAM dah ikut peraturan', TMJ persoal tindakan FIFA
BACA LAGI: Nasib berbeza dengan Holgado, bek warisan digantung kelab Sepanyol lepas dihukum FIFA
Beberapa pemain warisan dalam Harimau Malaya akan dikenakan hukuman.
Kesan daripadanya sudah tentu dirasakan di pentas Liga Juara-Juara AFC (ACL) Elite yang bakal menyaksikan wakil tunggal negara itu berdepan kelab Jepun, Machida Zelvia di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada Selasa depan.
Tiga mata penuh diperlukan JDT dalam aksi pertama di laman sendiri susulan kekalahan kepada Buriram United menyulitkan peluang pasukan untuk mara ke pusingan seterusnya.
Ketiadaan Hevel, Figueiredo serta Irazabal dikhuatiri memberi kesan buat skuad Harimau Selatan yang mahu memastikan pasukan terbaik dapat diturunkan demi meraih kemenangan.
Bagaimanapun, bagi peminat kelab Selatan tanah air itu, ketiadaan tiga bintang tersebut bukanlah alasan untuk memungut mata maksimum kerana pelbagai pilihan lain masih boleh diturunkan.
Figueiredo merupakan antara pemain JDT yang dikenakan penggantungan 12 bulan. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
“Tidak mengapa, yang penting Bergson da Silva boleh digandingkan bersama Arif Aiman Hanapi. Pemain-pemain lain yang ada pun sudah cukup untuk membantu,” kata Cheryl Vee Petrus.
“Hilang tiga pemain itu pasti terasa. Tetapi, sekurang-kurangnya masih banyak pilihan lain dalam pasukan. Ayuh Harimau Selatan, tiga mata dalam tangan!” kata Halim Shah.
“Susah juga lawan kelab Jepun tanpa Hevel dan Figueiredo. Harapanya Xisco Munoz boleh tunjukkan sentuhan terbaik dengan menurunkan skuad terbaik demi kemenangan hadapan penyokong sendiri,” ujar Zamri Kluang.
Skuad Harimau Selatan berada dalam prestasi cemerlang ketika ini selepas mencatatkan 12 gol dalam dua aksi terakhir berdepan Sabah FC di pentas Liga Super serta kemenangan bergaya berdepan Bangkok United dalam saingan Piala Shopee.
Prestasi itu perlu diulangi ketika bertemu Machida Zelvia memandangkan mereka kini di kedudukan kelapan ACL Elite susulan kekalahan di tangan Buriram United tempoh hari. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram