[VIDEO] MB Terengganu turun tinjau runtuhan benteng Batu Rakit, warganet desak semak kontrak dan buat pelan pemulihan


  • Massa
  • Jumaat, 26 Sep 2025

Ahmad Samsuri dilihat hadir secara bersendirian dengan hanya mengenakan topi, pelitup muka, dan selipar jepun sahaja. — Media Sosial

PEMBINAAN benteng penahan ombak di Jalan Pantai Batu Rakit, Kuala Nerus, Terengganu dilaporkan runtuh sekali gus menimbulkan kebimbangan penduduk setempat dan menimbulkan persoalan mengenai tahap keselamatan serta kualiti projek berkenaan. 

Kejadian berlaku kira-kira pukul 9 malam pada Rabu melibatkan tengah laluan dan beberapa bahagian lain dikesan turut mengalami rekahan menyebabkan jalan itu kembali ditutup kepada orang ramai.

Perkembangan mengejutkan itu turut menarik perhatian Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang difahamkan turun sendiri ke lokasi berkenaan pada siang hari tanpa sebarang liputan media atau pengiring rasmi.

BACA LAGI: Inkues Zara Qairina: Polis siasat maklumat saksi kanak-kanak bocor, keterangan sudah direkod

BACA LAGI: [VIDEO] Cemas di R&R Behrang, polis terpaksa lepas tembakan, cekup suspek pecah rumah di Manjung

Menurut perkongsian pengguna Facebook, Mr Eizam Eidwan Zulkifli, Ahmad Samsuri dilihat hadir secara bersendirian dengan hanya mengenakan topi, pelitup muka, dan selipar jepun sahaja. 

"Ingatkan siapalah pakai mask tengahari buta dekat tempat tebing runtuh ini. Rupanya Menteri Besar (MB) Terengganu. Datang seorang diri, pakai cap, selipar jepun begitu saja.

"Habislah Jabatan Kerja Raya (JKR) dan lain-lain yang terlibat. Bos negeri Terengganu datang spotcheck senyap-senyap," tulisnya yang turut memuat naik gambar keadaan runtuhan.

Sementara itu, seorang lagi pengguna media sosial, Rosmahadi Ali yang mempunyai pengalaman dalam Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menegaskan perlunya semakan mendalam terhadap kontrak projek sebelum tindakan lanjut diambil.

"Semak dulu kontrak yang ada-ada pun. Dari situ buat tindakan susulan dan perlu dibuat oleh siapa. Dalam kontrak biasanya dah jelas peranan masing-masing dari peringkat reka bentuk hingga serahan projek, ada isu dan masalah pada projek nak buat macam mana. 

"Tembak rata tak selesai masalah pun. Kalau masalah design macam mana nak buat, kalau kelemahan kontraktor macam mana, kalau kena VO/EOT (Variation Order/Extension of Time) macam mana, kalau nak teruskan/tamatkan kontrak macam mana. 

"Kena buat pelan pemulihan, itu kaedah paling bijak. Dekat mana-mana pun, tengok apa yang ada dalam kontrak," pendapat yang diberikan oleh pengguna akaun Facebook berkenaan di ruangan komen.

 

Setakat ini, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan agensi berkaitan belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung punca kejadian.

Bagaimanapun, kehadiran mengejut Ahmad Samsuri dilihat sebagai isyarat jelas supaya semua pihak yang terlibat termasuk kontraktor dan konsultan projek segera menjalankan siasatan teknikal dan mengambil langkah pemulihan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan serta penduduk sekitar.

Projek dengan nilai keseluruhan RM4.95 juta itu mula dilaksanakan oleh kontraktor SR Tech Resources sejak 8 April 2025 dan dijadualkan siap pada 7 Oktober depan.

Atara skop utama kerja termasuk pembersihan runtuhan, kerja-kerja geoteknikal, pembinaan dinding penahan, pemasangan sistem geotekstil, kerja tambakan pasir dan penstabilan struktur tanah.

Sebelum ini, pada Januari lalu menyaksikan jalan berkenaan terputus akibat hakisan selepas dibadai ombak kuat menyebabkan ia terpaksa ditutup kepada orang ramai.

Kejadian itu berpunca daripada hakisan yang semakin teruk akibat fenomena air pasang besar dan ombak kuat setinggi 2.4 meter. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram