
SEORANG lelaki tempatan diberkas polis Thailand selepas bertindak meragut rantai emas milik seorang pelancong Malaysia ketika menunggang motosikal dalam kejadian di persimpangan Jalan Thung Sao, Hat Yai, wilayah Songkhla, Thailand pada 9 Ogos lalu.
Ketua Polis Hatyai, Kolonel Thammarat Phetnongchum berkata, suspek dikenali sebagai Sakrin Kae Chayapan, 25, berjaya ditahan pada 24 September di rumah ibunya di daerah Thung Wa, Satun, selepas pihak berkuasa mengesan pergerakannya melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
BACA LAGI: [VIDEO] Wanita terkejut lahirkan kembar 5, hasil imbasan hanya tunjuk 4 janin
BACA LAGI: [VIDEO] Tragedi cubaan lari penjara terbesar di benua Afrika, lebih 129 terbunuh
"Siasatan mendapati suspek menunggang motosikal seorang diri sebelum menghampiri sebuah kenderaan awam yang dinaiki mangsa, lalu menarik rantai emas dari leher mangsa sebelum melarikan diri.
"Hasil semakan CCTV membawa kepada pengeluaran waran tangkap oleh Mahkamah Wilayah Songkhla dan penahanan suspek," katanya.
Hasil soal siasat mendapati Sakrin mengaku meragut rantai emas tersebut kerana terdesak selepas menganggur lebih sebulan.
Dia kemudian menjual rantai emas yang dipercayai emas Malaysia itu pada harga lebih 20,000 baht (kira-kira RM26,460) untuk melangsaikan hutang motosikal dan membayar sewa rumah.
"Suspek menafikan wang hasil jualan digunakan untuk berjudi dan mendakwa keluarganya tidak mengetahui mengenai kejadian itu," tambah Thammarat.
Insiden itu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk tempatan dan pelancong mengenai aspek keselamatan di Hatyai, sebuah bandar pelancongan popular yang sering menjadi tumpuan pengunjung dari Malaysia.
Sakrin kini direman dan bakal berdepan tindakan undang-undang di bawah peruntukan undang-undang Thailand. Polis turut memberi jaminan akan meningkatkan rondaan serta pemantauan bagi memastikan keselamatan pelancong terus terpelihara. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram