[VIDEO] Cemas di R&R Behrang, polis terpaksa lepas tembakan, cekup suspek pecah rumah di Manjung


  • Kes
  • Sabtu, 20 Sep 2025

Tangkap layar video kejadian tembak di kawasan R&R Behrang arah selatan, Lebuhraya PLUS pada Sabtu.

ORANG awam dikejutkan dengan insiden tembak-menembak yang berlaku di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Behrang arah selatan, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) pada Sabtu.

Kejadian berkenaan juga didakwa mencetuskan suasana panik dalam kalangan pengguna lebuh raya yang berada di lokasi ketika itu.

Menerusi beberapa perkongsian di video yang dirakam orang awam, kejadian dikatakan berlaku sekitar pukul 12.35 tengah hari.

BACA LAGI: [VIDEO] Pura-pura meraung di pengebumian suami, isteri rupanya dalang pembunuhan pegawai polis

BACA LAGI: Imej Tengku Permaisuri Norashikin dimanipulasi 'scammer', Istana Selangor buat repot polis

Mesej yang tersebar menyebut berlaku insiden tembakan sebelum seorang individu dipercayai penjenayah berjaya ditahan pihak polis.

"Perak 12:35. Behrang R&R arah Selatan ada kes tembak dan penangkapan penjenayah oleh pihak polis. Sumber lain masih belum diperolehi," menurut mesej yang dikongsikan di aplikasi WhatsApp.

Melalui video yang dikongsikan, kedengaran suara beberapa saksi kejadian di kawasan tersebut.

"Tadi nampak dia (suspek) macam nak lari. Dah berjaya kena tahan. Tak tahu siapa tembak dulu, mungkin polis," katanya.

Tiada pengesahan berhubung sama ada terdapat kecederaan atau kerosakan harta benda ekoran kejadian tembak-menembak itu.

Khabar angin yang berlegar di media sosial turut mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan orang ramai.

Ada yang mendakwa kawasan sekitar R&R itu ditutup seketika bagi tujuan siasatan, namun perkara tersebut juga belum dapat dipastikan.

Dalam pada itu, Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin mengesahkan dalam kejadian 12.30 tengah hari Sabtu, satu das tembakan dilepaskan polis ke arah tayar kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Aruz yang dipandu suspek lelaki berumur 35 tahun berkenaan dalam usaha memperlahankan kenderaan bagi menangkap suspek.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin.

Memetik laporan Harian Metro, beliau berkata, Perodua Aruz berkenaan merupakan salah satu daripada tiga MPV yang dikejar polis dari kawasan Manjung, namun dua lagi kenderaan iaitu Toyota Hilux dan Perodua Alza berjaya meloloskan diri.

"Suspek pemandu Perodua Aruz berjaya dikesan anggota polis dari unit Rondaan Cegah Jenayah (IPD) Tapah yang mengejar kenderaan suspek hingga ke R&R Behrang.

"Hasil pemeriksaan pada Perodua Aruz itu menemukan pelbagai peralatan bagi kegiatan pecah rumah di samping 'jaket' tertera label polis.

"Sebenarnya dia suspek bagi kes pecah rumah di daerah Manjung. Jadi apabila tiga kenderaan suspek dikejar sekitar Manjung, suspek yang memandu Perodua Aruz menghala ke Tapah menggunakan laluan antara Manjung dan Tapah sebelum bertembung dengan RCJ IPD Tapah yang kemudian mengejarnya hingga ke Behrang.

"Kita terpaksa melepaskan satu das tembakan itu untuk memperlahankan kenderaan suspek kerana kita pun awalnya tak tahu apa sebab dia lari. Jadi bila kita dapat menangkapnya baru kita jumpa pelbagai barang yang digunakan untuk pecah rumah," katanya.

Tambahnya lagi, kes dirujuk IPD Manjung, di samping menyifatkan insiden berkenaan membuktikan kolaborasi kerjasama baik antara pentadbiran polis daerah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram