
KRISIS Ulsan Hyundai (HD) dalam saingan Liga Korea Selatan 1 musim ini nampaknya belum menemui titik noktah walaupun mereka sudah menggantikan bekas jurulatih, Kim Pan-gon dengan Shin Tae-yong.
Portal Korea, Football News melaporkan bahawa prestasi Ulsan terus merudum biarpun dikendalikan oleh bekas pengendali skuad kebangsaan Indonesia yang baru dilantik awal Ogos lalu.
BACA LAGI: Kemarau kemenangan 9 aksi terakhir, nasib Pan-gon bersama Ulsan HD ibarat telur di hujung tanduk
"Penyandang juara Ulsan HD memecat Kim Pan-gon dan melantik Shin Tae-yong sebagai pengganti mereka. Bagaimanapun, mereka telah mengalami tiga kekalahan berturut-turut dalam empat perlawanan di bawah kendalian Tae-yong
"Ulsan HD hanya tiga mata di atas zon playoff penyingkiran," kata Korea Football News di akaun X rasmi mereka, yang jelas kurang gembira dengan prestasi pengendali berusia 54 tahun berkenaan.
Untuk rekod, Ulsan HD muncul juara Liga Korea Selatan 1 untuk tiga musim berturut-turut (2022, 2023, 2024), namun prestasi menurun mendadak musim ini hingga menimbulkan kemarahan penyokong.
Di bawah Pan-gon, Ulsan hanya mampu mencatat lapan kemenangan, tujuh seri dan lapan kekalahan dalam 23 aksi liga, selain gagal menang dalam enam perlawanan terakhir sebelum dipecat.
Rekod perlawanan Tae-yong bersama Ulsan.
Tae-yong memulakan tugas dengan kemenangan tipis 1-0 ke atas Jeju SK pada 9 Ogos lalu, sekali gus menamatkan rekod tanpa kemenangan.
Namun selepas itu, rentak positif tidak berterusan apabila Ulsan dikecewakan Suwon FC (2-4), FC Seoul (2-3) dan Jeonbuk Hyundai Motors (0-2) dengan kini mereka jatuh ke tangga kelapan dengan 34 mata, hanya tiga mata di atas zon playoff penyingkiran.
Kekecewaan berkenaan juga secara tidak langsung menimbulkan sindiran dalam kalangan penyokong Korea yang mendakwa Tae-yong sudah 'tepu' kerana terlalu lama menumpukan kariernya di Indonesia.
Ada penyokong bola sepak Korea Selatan berpendapat pengalaman bersama Garuda tidak cukup untuk mengurus kelab besar seperti Ulsan HD yang memiliki reputasi tinggi dalam saingan domestik.
Tae-yong dipecat sebagai jurulatih Indonesia pada awal musim ini.
"Gara-gara terlampau lama di Indonesia, sampai tepu dah Shin Tae-yong," kata penyokong Korea Selatan.
"Shin Tae-yong memang kurang sesuai menjadi jurulatih yang mampu beri kesan pantas, dia memerlukan proses sekurang-kurangnya lima tahun untuk sekadar berada di kedudukan kelima liga. Saya rasa dia lebih sesuai menjadi jurulatih akademi," kata penyokong Indonesia.
Kritikan tersebut sekali gus membuka persoalan baharu, adakah Shin Tae-yong mampu menyelamatkan maruah Ulsan HD atau sekadar mengulangi kegagalan Pan-gon yang sebelum ini turut dikecam hebat?.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram