[VIDEO] Dulu gigit sekarang ludah, perangai legenda Liverpool masih tak berubah


  • Podium
  • Selasa, 02 Sep 2025

Suarez sekali lagi mencetuskan kontroversi apabila didakwa meludah ke arah jurulatih Seattle Sounders pada Isnin.

 

 

BINTANG veteran Inter Miami, Luis Suarez sekali lagi menjadi tumpuan dunia bola sepak apabila didakwa meludah ke arah seorang jurulatih Seattle Sounders selepas pasukannya tewas 0-3 pada aksi final Piala Liga pada Isnin.

Insiden memalukan itu berlaku sejurus tamat perlawanan di Stadium Lumen Field, Seattle, Amerika Syarikat ketika pemain dan pegawai kedua-dua pasukan sedang bersalaman di tengah padang.

Kemenangan bersejarah Seattle Sounders yang menamatkan kemarau trofi antarabangsa kelab berkenaan sedikit tercalar dengan tindakan tidak profesional penyerang berusia 38 tahun tersebut.

BACA LAGI: Legenda Liverpool antara 3 ikon dunia pernah semarakkan pentas Pestabola Merdeka

BACA LAGI: Poster Alexander Isak kemaruk nak ke Liverpool rupanya 'troll', sekadar janaan AI

Rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan legenda Liverpool berkenaan menghampiri jurulatih berkenaan sebelum dilihat meludah ke arahnya, dipercayai terkena pada muka.

Situasi bertambah tegang apabila beberapa pemain Seattle yang menyedari kejadian itu cuba mendapatkan penjelasan, namun penjaga gol Miami iaitu Oscar Ustari segera campur tangan untuk menenangkan keadaan.

Beberapa minit sebelumnya, suasana di padang sudah panas apabila berlaku pertengkaran antara pemain kedua-dua pasukan selepas wisel penamat hingga ada yang dilaporkan bertumbuk sebelum pengadil dan pegawai keselamatan meleraikan.

Setakat ini, pihak Inter Miami dan Major League Soccer (MLS) masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi, namun difahamkan keputusan disiplin bakal diumumkan dalam tempoh terdekat.

Untuk info, Suarez bukanlah asing dengan kontroversi sepanjang kariernya yang gemilang berikutan sebelum ini dia pernah digantung lapan perlawanan serta didenda FA England pada 2011 selepas membuat kenyataan berbaur perkauman terhadap Patrice Evra.

Selain itu, insiden paling diingati berlaku pada Piala Dunia 2014 di Brazil apabila Suarez digantung empat bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak kerana menggigit pertahanan Itali, Giorgio Chiellini, insiden ketiga melibatkan gigitan dalam kerjayanya.

Walaupun dianggap salah seorang penyerang prolifik era moden dengan koleksi lebih 500 gol, reputasi Suarez sering tercalar akibat sikap panas baran dan kelakuan di luar batasan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram