
SABAH FC terus mengekalkan rekod tanpa kalah musim ini selepas meraih keputusan seri tanpa jaringan dengan Kelantan The Real Warriors (TRW) di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah pada Sabtu.
Ia juga adalah keputusan seri kedua berturut-turut buat kedua-dua pasukan dalam saingan Liga Super musim ini, menyaksikan Sabah FC dan TRW berada di kelompok pertengahan liga dengan mengumpul dua mata.
Walaupun masih tidak merekodkan sebarang kekalahan namun keputusan dua perlawanan itu menyebabkan sebahagian penyokong mempersoalkan kualiti pemain import terutama penyerang Bosnia-Herzegovina, Ajdin Mujagic yang dilihat masih bergelut dengan Sabah FC.
BACA LAGI: Bantu kelab Indonesia layak ke Piala Shopee, Sony Norde dicanang berkelana ke India
BACA LAGI: Siasatan dalaman telah dimulakan, Sabah ambil serius isu coach futsal ditumbuk staf sendiri
Kualiti Ajdin menjadi topik perbincangan penyokong berikutan penyerang berusia 27 tahun itu tidak mencetak sebarang gol dalam dua perlawanan Liga Super menentang Kuala Lumpur (KL) City FC dan TRW.
Berdasarkan statistik di laman Transfermarkt, penyerang tinggi lampai berkenaan hanya menyumbang satu gol iaitu ketika menang 6-0 ke atas Bunga Raya dalam aksi pertama pusingan 16 Piala FA.
Sumbangan yang tidak memberangsangkan itu menyebabkan ramai penyokong mendesak Sabah FC untuk membawa seorang lagi pemain untuk menjadi sandaran sekiranya Ajdin masih tumpul dalam beberapa perlawanan akan datang.
Pemain yang dimaksudkan ialah import berpengalaman Liga Malaysia (Liga M), Sony Norde selepas sehingga kini dia masih berstatus ejen bebas berikutan tidak lagi menyarung jersi kelab Indonesia iaitu Malut United FC.
Sony menjadi watak utama Malut United apabila pemain kelahiran Haiti itu berjaya membantu Malut United mendaki ke tangga ketiga kempen 2024/2025, sekali gus memastikan kelayakan pasukan ke Piala Shopee musim ini.
Ajdin (kiri) baru mencetak satu gol untuk Sabah FC.
Selain boleh bermain sebagai penyerang sayap, pemain berusia 36 tahun tersebut yang mencetak dua bantuan jaringan dalam 14 perlawanan itu juga boleh beraksi di posisi tengah.
Ia sekali gus boleh membantu menyelesaikan masalah bahagian tengah Sabah berikutan sebelum ini Penolong Ketua Jurulatihnya, Alto Linus berkongsi Sang Badak kekurangan pemain tengah.
Oleh itu, dengan jendela perpindahan Liga Malaysia (Liga M) akan menutup tirainya pada 31 Ogos ini, Sang Badak membawa masuk Sony sebagai 'last minute signing' mereka. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram