Siasatan dalaman telah dimulakan, Sabah ambil serius isu coach futsal ditumbuk staf sendiri


  • Podium
  • Isnin, 25 Ogos 2025

Tangkap layar menunjukkan insiden pergaduhan melibatkan staf pasukan Sabah dalam penentuan tempat ketiga Piala Futsal Malaysia 2025 pada Sabtu.

 

 

PERLAWANAN penentuan tempat ketiga Piala Futsal Malaysia 2025 antara Sabah dan Johor Darul Ta'zim (JDT) bertukar kecoh apabila insiden pergaduhan melibatkan staf pasukan Sabah tercetus sejurus tamat perlawanan di Negeri Sembilan Arena pada Sabtu.

Aksi dramatik itu menyaksikan Sabah pada mulanya mendahului 3-1 sebelum dikejutkan dengan tiga jaringan pantas JDT di penghujung permainan, sekali gus menyaksikan skuad Borneo itu tewas tipis 3-4.

Kekecewaan jelas terpancar di kem Sabah dan ketegangan memuncak apabila ketua jurulatihnya, Roger Filipe bertindak memasuki gelanggang sebaik wisel penamat ditiup.

BACA LAGI: Akan ada masanya kita tak menang apa-apa — TMJ

BACA LAGI: [VIDEO] Naik angin lepas sia-sia kelebihan 2 gol lawan JDT, coach futsal Sabah ditumbuk staf sendiri

Menurut rakaman video yang tular di media sosial, jurulatih kelahiran Portugal itu kelihatan cuba ditenangkan oleh seorang penolong jurulatihnya.

Namun, situasi bertukar panas apabila Roger secara tiba-tiba menyiku penolong jurulatih berkenaan.

Tindakan itu mencetuskan reaksi balas apabila penolong jurulatih tersebut bertindak menumbuk Roger, menyebabkan pengendali berkenaan terjatuh dan terbaring di atas gelanggang, insiden yang mengejutkan para penonton di arena.

Susulan kekecohan itu, Sabah dalam satu kenyataan rasmi di laman Facebook memaklumkan bahawa mereka amat kesal dengan insiden pergaduhan membabitkan jurulatih dan staf pasukan sendiri.

“Pihak pasukan futsal Sabah mengakui dan amat kesal akan peristiwa pertengkaran yang berlaku selepas perlawanan futsal antara Sabah FA dan Johor Darul Ta’zim (JDT).

“Insiden itu melibatkan konfrontasi fizikal antara jurulatih dan staf pasukan. Keganasan dalam apa juga bentuk tidak boleh diterima dan tidak mencerminkan nilai, profesionalisme dan piawaian yang Sabah FA menjunjung," katanya.

Sabah turut memaklumkan bahawa siasatan dalaman sedang dijalankan dan tindakan tegas akan diambil berdasarkan kod tatakelakuan serta peraturan yang ditetapkan.

"Kami mengambil perkara ini dengan serius. Siasatan dalaman telah dimulakan dan tindakan tegas akan diambil mengikut tatakelakuan kami dan peraturan yang berkaitan," tambahnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram