
"TOLONGLAH… jangan ambil dadah, walau sekali!”, Itu nasihat pilu seorang ibu anak satu yang kini menjalani hukuman penjara akibat terjebak dalam najis dadah.
Wanita berusia 45 tahun itu mengakui satu detik khilaf meranapkan masa depannya, namun tekad baharu membuatkan dia berazam memulakan hidup dari awal.
Bekas jurujual itu berkata, sepanjang menjalani hukuman, dia memilih mengikuti kursus kemahiran bagi membina masa depan.
BACA LAGI : ‘Siang jadi guru malam nak berjaga’, lantik warden swasta elak kejadian buli di asrama
BACA LAGI : Salahkan guru saja takkan selesai isu buli — KGMMB
Baru-baru ini, dia terpilih menyertai kursus modular operasi hotel dan menerima tawaran kerja di bahagian housekeeping sebaik dibebaskan nanti.
“Saya tak sangka dapat tawaran kerja ini. Saya teruja untuk habiskan hukuman dan mulakan hidup baharu," katanya ketika ditemui wartawan di Pusat Penjara Sabah baru-baru ini.
Wanita yang tidak didedahkan namanya itu turut menasihati orang ramai agar tidak sesekali mengambil dadah, walaupun kerana rasa ingin tahu.
“Jangan ambil dadah, tolonglah. Ada cara lebih selamat untuk hadapi cabaran atau berjaga ketika kerja dan belajar.”
Seorang lagi peserta kursus, lelaki berusia 40 tahun yang juga bapa kepada tiga anak remaja berkata, kasih sayang terhadap keluarga menjadi pendorong utamanya untuk berubah.
“Saya tinggal di kawasan ‘hitam’ Kampung Sembulan dan terpengaruh dengan pergaulan salah. Saya amat kesal dengan semua keputusan silap yang pernah saya buat.
“Saya janji tidak akan sentuh dadah lagi dan akan berubah demi anak-anak serta isteri," katanya.
Dia yang bakal dibebaskan dalam tempoh dua tahun lagi berharap dapat mencari rezeki halal dan menjauhkan diri daripada rakan lama yang memberi pengaruh buruk.
“Selepas ini, setiap perkara yang saya lakukan, saya akan fikirkan keluarga dahulu.”
Untuk makluman, kursus selama 18 hari yang berakhir pada Khamis itu disertai 32 peserta terpilih, terdiri daripada 17 lelaki dan 15 wanita.
Latihan merangkumi housekeeping, tugas dapur dan stewarding di Kompleks Jabatan Penjara Sabah.
Program ini adalah hasil kerjasama antara Jabatan Penjara Sabah dan sebuah hotel di pusat bandar, yang menaja kos kursus serta menyediakan tenaga pengajar. — The Star/ STEPHANIE LEE
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram