[VIDEO] Arif-Roy King juara beregu lelaki terbuka Macau 2025 tewaskan duo Indonesia, 'mop cleaner' layak jadi MOTM 


  • Podium
  • Ahad, 03 Ogos 2025

Tangkap layar petugas pembersihan gelanggang membersihkan kawasan berkenaan.

PASANGAN beregu lelaki negara, Yap Roy King dan Wan Arif Wan Junaidi mencipta sejarah apabila meraih gelaran pertama mereka dalam kejohanan World Tour selepas menjuarai Terbuka Macau di Macau East Asian Games Dome di Cotai, Macau pada Ahad. 

Roy King dan Arif menampilkan aksi cemerlang apabila menewaskan pasangan Indonesia, Sabar Gutama dan Moh Reza yang berada di ranking kelapan dunia dengan keputusan 22-20, 21-18 dalam perlawanan akhir yang berlangsung sengit.

Kemenangan berkenaan juga menjadi pembalasan manis buat pasangan yang kini berada di ranking ke-24 dunia tersebut selepas tewas tipis kepada lawan sama dalam final Spain Masters tahun lalu.

BACA LAGI: Goh Lui Ying fokus cungkil permata baharu badminton, percaya Malaysia di landasan terbaik

BACA LAGI: Lin Dan, ahli gandingan beregu emas negara antara bintang kidal badminton terhebat dunia

Kejayaan di Macau memberikan suntikan motivasi terbaik buat Roy King dan Arif menjelang penampilan pertama mereka dalam Kejohanan Dunia yang bakal berlangsung di Paris dari 25 hingga 31 Ogos ini.

Apa yang menarik perhatian penyokong badminton tempatan adalah apabila petugas pembersihan gelanggang berkali-kali terlibat dalam aksi tersebut sehingga mengganggu momentum beregu Indonesia.

Meskipun permintaan tersebut tidak langsung menyalahi peraturan, penglibatan terlalu kerap sememangnya mengganggu rentak permainan, lebih-lebih lagi buat pihak lawan.

"Man of the match (MOTM) petugas mop kerana berjaya mematahkan momentum pemain Indonesia. Tahniah kepada pasangan kita kerana kekal tenang dan fokus untuk menamatkan perlawanan dengan cemerlang," kata penyokong tanah air, Adrian Choo.

"Ia berlaku (lantai licin) untuk kedua-dua pasukan. Bumbung yang bocor merosakkan perlawanan dan sangat memalukan," komen penyokong badminton, Peter Hcley. 

"Man of the match adalah petugas mop. Tahniah Arif dan Roy, mereka memang kelihatan seperti beregu nombor satu negara sekarang. Tahniah kepada jurulatih Pak Herry (Iman Pierngadi) dan Yoges," kata penyokong, Sook Iris. 

Dalam pada itu, pasangan beregu campuran negara iaitu Jimmy Wong dan Lai Pei Jing terpaksa berpuas hati sebagai naib juara selepas tewas kepada pasangan Denmark, Mathias Christiansen dan Alexandra Boje dengan keputusan 13-21, 16-21.

Walaupun gagal menjuarai kejohanan, Jimmy dan Lai Pei Jing tetap membanggakan selepas berjaya menentang pelbagai cabaran untuk melangkah ke final dalam penampilan sulung mereka di Kejohanan Dunia. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram