JBPM disaran saman Ija lepas buat sandiwara lari ke Thailand


  • Massa
  • Isnin, 21 Jul 2025

JBPM sudah membuat satu laporan polis terhadap Ija dan adiknya susulan tindakan membuat laporan palsu berhubung kejadian kehilangannya di Sungai Tui, Jalan Bukit Kepong, Isnin lepas.

 

 

JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) disaran mengambil tindakan undang-undang terhadap pempengaruh permotoran, Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin yang memperdaya seluruh Malaysia termasuk pihak berkuasa baru-baru ini.

Sebelum ini, siasatan polis mendapati lelaki berkenaan didakwa sengaja menenggelamkan kereta milik isterinya ke dalam Sungai Tui, Jalan Bukit Kepong, Muar, Johor sebelum melarikan diri ke Thailand dengan bantuan adik kandungnya.

Susulan tindakannya itu, salah seorang pengguna Facebook yang dikenali sebagai Zulkifli Che Noh menyifatkan ia sebagai satu bentuk penghinaan terhadap pengorbanan dan keikhlasan anggota bomba yang bertungkus-lumus menjalankan misi pencarian.

BACA LAGI: ‘Tolong sedar dan bawa bertaubat', rakan rapat tampil dedah kronologi sebenar pempengaruh lari ke Thailand

BACA LAGI: Pempengaruh hilang rupanya lari ke Thailand, subahat dengan adik sebelum tenggelamkan kereta isteri dalam sungai — Polis Muar

Menurut Zulkifli, usaha berhari-hari pihak bomba dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) bukan perkara kecil, apatah lagi apabila dilakukan dalam pelbagai keadaan dan risiko demi menyelamatkan satu nyawa.

"Setiap kali ada pengumuman operasi berkumandang di balai bomba, siren menjerit, anggota-anggota bomba akan tinggalkan apa sahaja aktiviti.

"Sedang makan, sedang bersukan bahkan sedang buang hajat. Terus bergegas naik jentera. Tak fikir dah pukul berapa akan balik semula.

"Cuba bayangkan berhari-hari, mereka berhempas pulas, cuba pelbagai teknik dan cara semata-mata nak selamatkan nyawa kau. Rehat, makan ala kadar kat lokasi, menyelam, mencari merata-rata.

"Sedang kau seronok pergi berbini di luar negara. Manusia jenis apa kau ini? Saya sokong sangat JBPM saman saja orang tak guna macam ini," luahnya di platform Facebook pada Isnin.

Sebelum ini, laporan media tempatan melaporkan JBPM sudah membuat satu laporan polis terhadap seorang pempengaruh permotoran dan adik lelakinya susulan tindakan membuat laporan palsu berhubung kejadian kehilangannya itu.

Ketua Zon 4 JPBM Johor Penguasa Kanan Bomba II, Norshuhada Amsari berkata, laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar pada pukul 11.30 pagi Ahad adalah atas nasihat Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad.

Norshuhada berkata, laporan juga bertujuan agar orang awam mengambil iktibar dengan tidak sesekali membuat sesuatu perkara yang tidak berfaedah serta mengganggu tugas anggota penyelamat.

Beliau berkata, sepanjang operasi mencari dan menyelamat selama empat hari itu, lebih 30 pegawai dan anggota JBPM dari Muar, Labis dan Pagoh dikerah ke lokasi kejadian sebaik adik pempengaruh itu membuat laporan kehilangan abangnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram