JAIS nafi beri kelulusan program eHati


  • Massa
  • Isnin, 21 Jul 2025

Program tersebut dikatakan dianjur secara bermalam selama empat hari melibatkan kira-kira 50 peserta.

JABATAN Agama Islam Selangor (JAIS) menafikan dakwaan bahawa pihaknya telah memberikan sebarang bentuk kelulusan terhadap penganjuran program eHati oleh syarikat eHati International Sdn Bhd.

Penegasan itu dibuat oleh Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad susulan kenyataan media yang dikeluarkan oleh Pengarah syarikat berkenaan pada 15 Julai lalu yang mengaitkan JAIS dengan kelulusan program tersebut.

Menurut Mohd Shahzihan, pada 15 November 2022, JAIS telah mengadakan satu sesi penjelasan melalui panel yang dilantik, selepas menerima aduan daripada peserta program yang mendakwa wujud aktiviti bercanggah dengan hukum syarak dalam program berkenaan.

BACA LAGI: e-Hati: Polis sahkan wujud adegan tanpa seurat benang dalam program motivasi

BACA LAGI: 'Jual pada terdesak', Zeeda Aziz bidas taktik eHati, seru wanita lebih waspada

"Pengadu mendakwa terdapat aktiviti yang bercanggah dengan hukum syarak berlaku dalam program itu. Dalam sesi penjelasan tersebut, pihak penganjur telah menyerahkan satu video yang digunakan dalam program eHati yang mengandungi kaedah self-pleasure bagi wanita untuk tujuan merapatkan hubungan antara suami isteri," jelasnya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurut beliau, panel berkenaan berpandangan bahawa beberapa aspek dan pendekatan dalam program eHati perlu dipinda atau dibuang sekiranya didapati bercanggah dengan hukum syarak.

“Pihak syarikat juga telah dinasihatkan agar sentiasa merujuk kepada pihak yang mempunyai autoriti agama atau pakar bagi memastikan pematuhan terhadap hukum syarak dalam keseluruhan pelaksanaan program tersebut,” ujarnya lagi.

Selain itu, penganjur turut diminta untuk meletakkan penafian (disclaimer) yang menyatakan bahawa video terbabit hanya untuk kegunaan pasangan suami isteri sahaja sebagai langkah mengelakkan sebarang pelanggaran hukum syarak.

Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad.

Namun begitu, jelasnya, JAIS menegaskan bahawa saranan meletakkan penafian itu tidak bermaksud keseluruhan modul atau aktiviti dalam program eHati telah diluluskan.

"Ini kerana syarikat tersebut tidak pernah merujuk keseluruhan modul program kepada JAIS selepas teguran dan syor dibuat oleh panel berkenaan hingga ke hari ini.

"JAIS yakin sekiranya syarikat mematuhi ketetapan panel pada tahun 2022, insiden yang didakwa berlaku dalam program eHati di IDCC Shah Alam tidak akan terjadi," katanya.

Menurut beliau, selaras dengan keputusan Mesyuarat Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), JAIS telah diminta menyemak dan menambah baik Garis Panduan Penganjuran Program Keagamaan dan Kerohanian Islam dengan mengambil kira pelbagai insiden termasuk program eHati.

Majlis Agama Islam Selangor.

"Penambahbaikan ini bertujuan mewujudkan satu garis panduan yang lebih komprehensif sebagai rujukan kepada penganjur program kerohanian dan keagamaan di negeri ini," tambahnya.

Dalam masa sama, Mohd Shahzihan turut menyeru masyarakat Islam di Selangor agar terus memainkan peranan aktif dengan menyalurkan maklumat serta melaporkan sebarang program atau pengisian keagamaan yang meragukan kepada pihak JAIS.

"Maklumat yang tepat daripada masyarakat amat penting dalam membantu JAIS memelihara prinsip dan pelaksanaan ajaran Islam sebenar mengikut fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah di negeri ini," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram