‘Tolong sedar dan bawa bertaubat', rakan rapat tampil dedah kronologi sebenar pempengaruh lari ke Thailand


  • Massa
  • Ahad, 20 Jul 2025

Tengku Nizaruddin (kiri) atau dikenali sebagai Ija juga dikatakan baru pulang dari Thailand.

MISTERI kehilangan pempengaruh media sosial, Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin akhirnya terungkai apabila beliau dilaporkan melarikan diri ke Thailand dan bukannya hilang seperti disangka ramai. 

Siasatan polis mendapati lelaki berkenaan didakwa sengaja menenggelamkan kereta milik isterinya ke dalam Sungai Tui, Jalan Bukit Kepong, Muar, Johor sebelum melarikan diri ke Thailand dengan bantuan adik kandungnya.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, pihaknya sudah membuka kertas siasatan berhubung laporan palsu yang dibuat berkaitan kehilangan pempengaruh permotoran itu. 

BACA LAGI: Pempengaruh hilang rupanya lari ke Thailand, subahat dengan adik sebelum tenggelamkan kereta isteri dalam sungai — Polis Muar

BACA LAGI: Hanya jumpa selipar dan topi, bomba guna dron kesan pempengaruh hilang di Muar

Tindakan tidak wajar dari Tengku Nizaruddin, 38, itu menimbulkan kemarahan orang ramai termasuk mengecewakan salah seorang rakannya iaitu Qaqal Jeffry yang meluahkan perasaanya menerusi satu hantaran di Facebook. 

Qaqal yang mengenali Tengku Nizaruddin atau lebih mesra dikenali sebagai Ija lebih sedekad, meluahkan rasa kecewa dan terkilan terhadap tindakan sahabat lamanya itu yang disifatkan sebagai tidak wajar.

Hal ini kerana, misteri kehilangan Tengku Nizaruddin itu mencetuskan kegusaran ramai termasuk pihak berkuasa dan orang awam sehingga ada yang sanggup turun padang membantu misi pencariannya. 

"Aku ini fikirkan, kawan lama. Lebih sedekad. Betapa risaunya kita sebab kenal isteri, kenal anak, punya lah merintih doa dalam hati minta dijauhkan dari segala bala bencana kalau kawan-kawan ini, apatah lagi diri dan keluarga sendiri. 

"Tengah kerja, dapat telefon dari Cikman, berdesup start enjin terus ke lokasi kejadian. Mana tak nya, kena pulak kawasan-kawasan kampung kita sendiri. Masa sampai di tempat kejadian, hanya satu perkara terlintas. Macam mana kereta boleh dalam sungai?," katanya. 

Dia yang segera bergegas ke lokasi kejadian menyatakan terdapat beberapa kejanggalan pada insiden tersebut, antaranya kenderaan berada dalam sungai tanpa kesan kemalangan, gear dalam posisi 'L', tingkap diturunkan, dan kunci masih dalam mod 'on'.

Lebih mencurigakan, peranti penjejak (airtag) milik Ija ditemui di atas jambatan berhampiran, yang menurutnya hampir mustahil diketahui orang lain melainkan pemiliknya sendiri.

“Dalam hati terdetik, ini bukan kemalangan. Ini memang disengajakan, tujuan hapuskan bukti dan nak larikan perhatian biar semua tertumpu di situ. Tapi terlepas pandang bab air ada pasang surut siang malam. 

"Lepas itu katanya airtag terakhir dikesan kena campak atas jambatan tepi itu, mana mungkin orang lain tau lokasi airtag kalau disorok dalam kereta melainkan pemilik sendiri. Airtag itu kecil. Link dengan AppleID. Tapi waktu tiu cuma firasat hati," kongsinya. 

Qaqal turut mendedahkan bahawa pihak berkuasa dipercayai telah mengesan pergerakan Ija sehari selepas laporan kehilangannya, termasuk pengeluaran wang di mesin ATM dan keberadaannya yang dikesan merentas sempadan ke Thailand melalui cop pasport. 

Lebih mengejutkan apabila adik kandungnya turut bersubahat apabila dikatakan turut membantu Tengku Nizaruddin dengan menghantar pempengaruh berkenaan ke stesen bas untuk melarikan diri.

Namun begitu, dia menegaskan luahannya bukanlah untuk menghasut atau menuduh, sebaliknya hanya mahu meluah kekecewaan secara peribadi terhadap tindakan Ija yang menurutnya mengheret terlalu ramai pihak termasuk ahli keluarga, rakan, dan pihak berkuasa. 

"Cuma satu saja aku nak tekankan. Kecewa dengan tindakan ini. Regardless apa sebab di sebaliknya, kau tak patut. Kalau pasal hutang, aku tiada komen. Aku pun banyak hutang. Ramai lagu banyak hutang kalau dah nama berniaga ini.

"Kalau pasal kahwin lain, aku pun tiada komen, sebab itu peribadi masing-masing. Tapi aku rasa tak. Bayangkan berapa ramai pihak yg terlibat, tak termasuk perasaan ahli keluarga terdekat. Mungkin kau ada sebab tersendiri tapi niat tak menghalalkan cara," kongsinya. 

Mengakhiri catatannya, Qaqal menyeru agar Ija segera bertaubat dan kembali ke pangkal jalan, sambil menzahirkan rasa syukur atas sokongan sahabat-sahabat yang sama-sama berusaha ketika situasi genting itu berlaku.

Dalam pada itu, pihak polis turut mengesahkan bahawa Tengku Nizaruddin kini berada dalam keadaan selamat dan telah pulang dari Thailand.

Ija dan adiknya telah dipanggil untuk diambil keterangan dan siasatan kini diteruskan di bawah peruntukan undang-undang berkaitan laporan palsu dan bersubahat dalam jenayah, selepas memperoleh kebenaran menyiasat (OTI) daripada Timbalan Pendakwa Raya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram