
MISTERI kehilangan seorang pempengaruh permotoran sejak awal minggu ini akhirnya terbongkar apabila siasatan polis mendapati lelaki berkenaan didakwa sengaja menenggelamkan kereta milik isterinya ke dalam Sungai Tui, Jalan Bukit Kepong, Muar, Johor sebelum melarikan diri ke Thailand dengan bantuan adik kandungnya.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, pihaknya telah membuka kertas siasatan berhubung laporan palsu yang dibuat berkaitan kehilangan Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin, 38, atau lebih dikenali sebagai Ija, yang sebelum ini disangka hilang dalam perjalanan ke Muar untuk membaiki kenderaan.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati laporan polis yang dibuat oleh adik mangsa, Tengku Abd Aziz Tengku Zainudin, 30, pada 15 Julai lalu mengandungi beberapa keraguan, termasuk usaha pencarian yang dilihat sebagai sekadar lakonan.
“Hasil siasatan menunjukkan mangsa dipercayai dengan sengaja menenggelamkan kereta milik isterinya ke dalam Sungai Tui di Lenga sebelum melarikan diri ke sebuah negara jiran,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Polis turut mengesahkan bahawa Tengku Nizaruddin kini berada dalam keadaan selamat dan telah pulang dari Thailand.
Lebih mengejutkan, tambah beliau, siasatan mendapati adik mangsa turut bersubahat dalam kejadian itu, termasuk berpura-pura menjalankan operasi pencarian bagi mengelirukan pihak berkuasa dan orang awam.
Kedua-dua beradik tersebut telah dipanggil untuk diambil keterangan dan siasatan kini diteruskan di bawah peruntukan undang-undang berkaitan laporan palsu dan bersubahat dalam jenayah, selepas memperoleh kebenaran menyiasat (OTI) daripada Timbalan Pendakwa Raya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram