
SEORANG lelaki dipercayai di bawah pengaruh dadah jenis syabu ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam beberapa kejadian ugutan jenayah, samun dan rompakan di sekitar Alor Gajah, Melaka sejak malam Ahad hingga awal pagi Isnin.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, suspek berusia 40 tahun itu diberkas menerusi Op Kesan selepas pihaknya menerima laporan awam berkaitan seorang lelaki yang mengugut pekerja sebuah pasar mini di Taman Mutiara, Alor Gajah pada pukul 11.39 malam.
Menurutnya, suspek kemudian bertindak agresif dengan menyerang dan menyamun seorang penunggang motosikal menggunakan senjata tajam kira-kira pukul 3.53 pagi di tepi jalan berhadapan sebuah stesen minyak di Kelemak sehingga menyebabkan mangsa cedera.
BACA LAGI: JAIS ambil keterangan 2 saksi program motivasi eHati
BACA LAGI: Kempen Internet Selamat bantu pelajar di Keningau fahami risiko siber
Suspek bertindak agresif dengan menggunakan pisau bagi mencederakan mangsa. — Gambar hiasan
“Sebelum itu, suspek dilaporkan membaling batu ke arah pintu cermin dan mengacukan pisau kepada petugas kaunter di stesen minyak yang sama pada pukul 3.47 pagi,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Tambah beliau, suspek juga dipercayai menyamun sebuah kedai serbaneka di pekan Alor Gajah pada pukul 4 pagi dengan bersenjatakan parang dan melakukan ugutan jenayah terhadap petugas premis.
Hasil siasatan mendapati suspek tidak bekerja, tinggal bersama keluarga dan mempunyai rekod gangguan mental serta dikatakan sudah seminggu tidak mengambil ubat.
“Semakan lanjut mendapati dia pernah terlibat dalam enam kes jenayah dan enam kes berkaitan dadah sebelum ini. Ketika ditahan, suspek turut disahkan positif dadah jenis methamphetamine berdasarkan ujian air kencing,” jelas Ashari.
Katanya, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Alor Gajah pada Isnin untuk permohonan reman bagi siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 506, 392 dan 394 Kanun Keseksaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram