[VIDEO] Malaysia terlepas tiket ke Piala Asia Wanita, striker Korea Utara cetus kontroversi serang Azurin Mazlan


  • Podium
  • Ahad, 06 Jul 2025

Tangkap layar menunjukkan detik-detik penyerang Korea Utara (jersi merah) menyiku dan menumbuk muka Azurin Mazlan.

HARAPAN Malaysia untuk layak ke Piala Asia Wanita 2026 lebur apabila skuad Malayan Tigress tewas 0-6 kepada Korea Utara dalam aksi terakhir kumpulan H yang berlangsung pada Sabtu.

Perlawanan itu menjadi penentu hidup mati buat pasukan kendalian Joel Cornelli, yang memerlukan kemenangan ke atas pasukan ranking kesembilan dunia itu untuk melayakkan diri ke kejohanan yang bakal berlangsung di Australia. 

Namun, misi mencipta kejutan tidak kesampaian apabila Korea Utara menunjukkan keampuhan sebenar dengan enam jaringan hasil hatrik penyerang berbisa, Kim Kyong-yong dan satu gol masing-masing dicetak oleh Kim Hye-yong, Myong Yu-jong dan Ri Hye-gyong.

BACA LAGI: Seperti diramal, import Sabah FC antara 3 pemain pilih ikut jejak bekas jurulatih sertai kelab baharu

BACA LAGI: Bukan laluan Selangor saja berliku, Harimau Selatan juga perlu waspada 'jerat' kelab Singapura

Di sebalik kekalahan besar tersebut, satu insiden yang mencetuskan kemarahan warga maya tular di media sosial apabila pemain Korea Utara, Kyong-yong didakwa melakukan kekasaran terhadap penjaga gol kebangsaan, Nurul Azurin Mazlan. 

Rakaman video berdurasi 11 saat yang dimuat naik oleh pengguna laman X, @kakak_dayah, menunjukkan detik ketika Azurin berjaya menangkap bola dengan kemas di hadapan pintu gol, namun disiku dan ditumbuk oleh penjaring hatrik pasukan lawan.

Situasi tegang itu bagaimanapun berjaya diredakan selepas campur tangan kapten pasukan negara, Steffi Sarge Kaur sebelum pengadil perlawanan tiba untuk meleraikan keadaan.

Dengan keputusan ini, Korea Utara mengesahkan status sebagai juara kumpulan H dengan sembilan mata maksimum hasil tiga kemenangan, manakala Malaysia terpaksa berpuas hati di tempat kedua dengan tiga mata.

Menurut format pertandingan, hanya juara kumpulan layak ke Piala Asia Wanita 2026, sekali gus menamatkan kempen kelayakan Malaysia lebih awal. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram