[VIDEO] Bukan lagi teka-teki, kehadiran Park Tae-su kuatkan spekulasi sertai Sang Saka Biru


  • Podium
  • Ahad, 06 Jul 2025

Aksi persahabatan antara PDRM FC dan Bawah 23 Tahun turut menyaksikan kelibat bekas orang besi Sabah FC, Park Tae-su.

BEKAS kapten Sabah FC, Park Tae-su dilaporkan semakin hampir menyertai PDRM FC bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim 2025/2026.

Spekulasi mengenai perpindahan pertahanan berusia 35 tahun itu semakin hangat selepas kehadirannya dikesan ketika aksi persahabatan antara PDRM dan skuad Malaysia Bawah 23 Tahun (B-23) yang berlangsung baru-baru ini.

Perkara itu dikongsikan pemerhati sukan tempatan, Husna Zainuddin menerusi laman X miliknya.

BACA LAGI: Seperti diramal, import Sabah FC antara 3 pemain pilih ikut jejak bekas jurulatih sertai kelab baharu

BACA LAGI: [VIDEO] Malaysia terlepas tiket ke Piala Asia Wanita, striker Korea Utara cetus kontroversi serang Azurin Mazlan

"TERKINI! Kehadiran Park Tae-su ketika aksi persahabatan antara PDRM vs Malaysia B-23 mengukuhkan lagi spekulasi perpindahan bekas kapten Sabah itu ke Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (PULAPOL)," katanya.

Sebelum ini, seorang lagi pemerhati sukan tanah air, Fadhirul Shuhaimi turut memaklumkan bahawa bekas pemain The Rhinos itu dijangka menandatangani kontrak bersama skuad Sang Saka Biru dalam masa terdekat selepas tidak lagi disambung Sabah untuk musim baharu.

Untuk rekod, pemain kelahiran Incheon, Korea Selatan itu menyertai Sabah pada musim 2019 dan mencatatkan lebih 100 penampilan dengan 20 gol, satu statistik luar biasa buat seorang pertahanan tengah.

Sekiranya perpindahan itu dimuktamadkan, Tae-su dijangka akan mengisi kekosongan yang ditinggalkan bekas tonggak import PDRM, Faith Obilor.

Difahamkan, PDRM FC hanya mengekalkan dua pemain import iaitu Fadi Awad dan Kyaw Min Oo setakat ini bagi musim baharu, manakala seorang lagi pemain import baharu yang disebut bakal menyertai ialah jeneral tengah Jordan, Ahmed Israiwah.

Dengan kehadiran Park Tae-su, PDRM dijangka tampil lebih kukuh di benteng pertahanan dalam misi mencabar saingan Liga Super musim hadapan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram