
SELAIN akan berentap dalam Liga Juara-Juara AFC (ACL), dua pasukan teratas musim lalu, Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Selangor FC akan turut bersaing dalam Piala Shopee anjuran AFF.
Kejohanan yang diadakan buat musim kedua berturut-turut itu kurang mencuri tumpuan pada edisi sulung kerana hanya mengumpulkan pasukan sekitar Asia Tenggara dengan ramai beranggapan ia tidak begitu mencabar.
Namun, selepas menyaksikan saingan Piala Shopee 2024/25, peminat tempatan mula menyedari nilai bakal dibawakan mampu menyajikan aksi kompetitif buat wakil tanah air.
BACA LAGI: 'Boleh lawan JDT ke?', diam-diam buat kerja, KL City sambar Manuel Hidalgo
Hasil undian Piala Shopee 2025/26 yang meletakkan Selangor FC dan JDT dalam dua kumpulan berbeza. — Facebook/ASEAN United FC
Malah, berdasarkan undian yang dibuat pada Jumaat, kedua-dua kelab Liga Super dihidangkan dengan cabaran berbeza dalam usaha merebut dua kedudukan teratas untuk layak ke pusingan kalah mati.
Ujian besar sememangnya dihadapi Selangor FC yang diletakkan dalam Kumpulan A bersama dua finalis edisi lalu, CAHN FC dan Buriram United selain akan turut berdepan BG Pathum United dari Thailand.
Melengkapkan kumpulan itu adalah wakil Singapura, Tampines Rovers FC sementara satu lagi slot akan dimiliki pemenang playoff antara DH Cebu FC dan Kasuka FC.
Ini merupakan ujian getir buat skuad Gergasi Merah yang perlu menampilkan persembahan lebih baik berbanding penyertaan di pentas Asia musim lalu apabila mereka gagal melepasi peringkat kumpulan Piala AFF.
Bagaimanapun, kehadiran Buriram United dan BG Pathum United sudah tentu memberi cabaran hebat buat anak-anak buah Katsuhito Kinoshi dalam usaha menambah koleksi kejuaraan.
CAHN FC dan Buriram United yang beraksi di final Piala Shopee musim lalu akan memberi cabaran kepada Selangor FC.
Dalam pada itu, JDT yang tidak perlu lagi diceritakan cengkaman dalam arena bola sepak tempatan diletakkan dalam Kumpulan B yang seperti tidak terlalu sukar buat mereka.
Kelab Selatan tanah air itu diletakkan di samping Nam Dinh FC (Vietnam), Bangkok United (Thailand), Lion City Sailors (Singapura), Svay Rieng FC (Kemboja) sementara sebuah lagi tempat akan direbut Shan United atau Ezra FC menerusi aksi playoff.
Berdasarkan senarai pasukan di atas, tiada masalah besar buat anak-anak buah Xisco Munoz membawa pasukannya ke peringkat lebih jauh mahupun muncul juara keseluruhan.
Sekiranya berjaya berbuat demikian, mereka akan menambah koleksi gelaran di peringkat antarabangsa selepas pernah mengecapi kejayaan dalam Piala AFC lebih 10 tahun lalu.
Musim lalu, JDT dan Selangor FC tidak menyertai saingan Piala Shopee kerana memilih untuk memberi tumpuan sepenuhnya di pentas AFC dengan Terengganu FC dan Kuala Lumpur (KL) City FC dipilih sebagai wakil.
Tetapi, penyertaan kedua-dua pasukan itu berakhir dengan kekecewaan apabila mereka gagal mara ke pusingan kalah mati, sekali gus mendesak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk mengubah format penyertaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram