'Tak wajar kata dikhianati', ada pihak cuba dilihat penyelamat Kedah tapi hanya mahu selamatkan hayat politik


  • Podium
  • Ahad, 29 Jun 2025

Skuad Sang Kenari yang pernah menjadi antara pasukan disegani dalam Liga Malaysia itu kini berdepan dengan pelbagai cabaran sekali gus menimbulkan persoalan tentang hala tuju sebenar kelab. — KDAFC

KEMELUT yang melanda Kedah Darul Aman FC (KDA FC) terus berpanjangan tanpa tanda-tanda akan reda pada ketika ini. 

Isu berkaitan pengurusan, kewangan serta pertikaian tanggungjawab antara pihak berkepentingan semakin meruncing dan menjadi bualan hangat dalam kalangan penyokong setia serta pemerhati bola sepak tanah air.

Kelab yang pernah menjadi antara pasukan disegani dalam Liga Malaysia itu kini berdepan dengan pelbagai cabaran sekali gus menimbulkan persoalan tentang hala tuju sebenar kelab dan siapa yang harus bertanggungjawab terhadap segala kekusutan yang berlaku.

BACA LAGI : Bekas 'kereta kebal' kelab Lembah Klang kini dalam radar skuad Jang

BACA LAGI :  Bagaikan ‘deja vu’, Aidil Sharin saling tak tumpah seperti 3 coach termasuk Nafuzi Zain jika tinggalkan kelab lepas musim sukses

Terbaharu, Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Kedah, Muhamad Mat Yakim tampil memberikan penjelasan panjang lebar menerusi satu hantaran di Facebook, menyentuh penyerahan skuad Sang Kenari kepada Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar.

Muhamad Mat Yakim

Beliau turut menyentuh peranan sebenar Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) dalam memastikan kelab itu terus bertahan dalam saingan liga profesional.

Katanya, KFA menyerahkan KDA FC secara percuma dan dalam keadaan 'bersih' tanpa sebarang hutang kepada Daud Bakar pada tahun 2021. 

Ketika itu, KDA FC merupakan syarikat bertujuan khas (SPV) yang ditubuhkan pada September 2020 bagi memenuhi syarat penyertaan Liga Super.

Bagaimanapun, jelas Muhamad, semua tunggakan termasuk cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjumlah puluhan juta ringgit diambil alih dan diselesaikan secara berperingkat oleh KFA. 

"Sehingga kini, KFA masih membayar kira-kira RM200,000 sebulan untuk melunaskan tunggakan yang ditinggalkan pengurusan sebelum 2020. 

"Lopak-lopak hutang itu dikambus oleh KFA, manakala KDA FC diberikan laluan untuk bergerak tanpa perlu keluarkan belanja atau peluh," katanya.

Tambah beliau, notis tuntutan hutang masih dihantar kepada wakil-wakil KFA dalam Lembaga Pengarah KDA FC, meskipun tanggungjawab penuh seharusnya dipikul pemilik semasa. 

Malah, KFA turut menyalurkan pinjaman RM1 juta sebagai modal awal pergerakan kelab.

"Dalam prinsip urus tadbir korporat, pemilik yang diberikan kuasa penuh wajib menyusun pelan perniagaan dan bertanggungjawab atas untung rugi, bukannya menyalahkan KFA jika berlaku masalah," ujarnya. 

Beliau juga menyentuh bahawa KDA FC sepatutnya beroperasi seperti entiti perniagaan dengan memanfaatkan sokongan rakyat sebagai aset langganan kelab jangka panjang.

Kenyataan itu turut menolak dakwaan bahawa KFA mengkhianati KDA FC dengan menubuhkan pasukan untuk Liga Semi-Pro (A1). 

Sebaliknya, tindakan itu dilihat selari dengan fungsi asal KFA sebagai badan induk pembangunan bola sepak negeri, berbanding KDA FC yang merupakan kelab profesional dengan kelebihan menggunakan pemain import dan kos pengurusan yang lebih tinggi.

"Sudah ada gentlemen agreement dari awal. 

"Tidak sepatutnya wujud isu pengkhianatan, lebih-lebih lagi jika dibangkitkan oleh pihak berkepentingan politik," katanya sambil menegaskan bahawa terdapat individu yang cuba menonjolkan diri sebagai 'penyelamat' bola sepak Kedah atas sebab kelangsungan politik peribadi.

Akhirnya, Muhamad berharap Daud Bakar yang dihormati di peringkat antarabangsa, terus memimpin KDA FC dengan bijak tanpa terpengaruh dengan agenda politik sempit pihak tertentu. "

"Kita doakan beliau terus berjaya bersama KDA FC," katanya menutup kenyataan panjang itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram