
PASUKAN Perak Bison sudah memulakan latihan awal bagi menghadapi musim Liga Sepak Takraw Malaysia (STL) 2025 yang bakal bermula pada 17 Jun 2025 di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Terengganu, Terengganu.
Bagaimanapun, sesi latihan tersebut belum dihadiri beberapa pemain utama seperti Noraizat Nordin dan Aidil Aiman Azwawi susulan dua pemain berkenaan tidak mendapat pelepasan penuh daripada Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM).
Menurut perejam Perak iaitu Noraizat, mereka perlu menyelesaikan tanggungjawab dengan skuad kebangsaan sebelum dia dan Aidil Aiman menyertai sesi latihan regu Bison itu bermula minggu hadapan.
BACA LAGI: 'Next STL', Syafiq Ahmad sasar jadi pemain takraw lepas tinggalkan Kedah?
BACA LAGI: Klinik STL terus cungkil bakat muda, pertama kali dianjurkan di Pahang
Meskipun bermula agak lambat dengan rakan sepasukan lain, Noraizat semangat mahu membantu Perak musim ini dengan dia turut berkongsi sasaran tinggi pasukan, menegaskan bahawa mereka akan berusaha sebaik mungkin bagi meraih kejuaraan.
"Nak dapatkan kejuaraan Insya-ALLAH, kami akan cuba selaya upaya untuk mendapatkan tempat pertama tu. Sebab tahun ini, saya rasa pencabar-pencabar agak menarik. Agak menarik minat penyokong-penyokong. Pemain-pemain dari pasukan lain pun nak kemenangan itu.
"Antaranya, Melaka Titan pencabar terhebat untuk STL tahun ini. Tetapi bagi saya sebagai wakil Perak Bison, saya tidak letak semua itu sebagai tekanan daripada diri pasukan Perak Bison. Main kena all out. Menang atau kalah tu nombor dua," katanya kepada Majoriti.
Melaka Titans yang baru-baru ini dinobatkan juara divisyen satu disebut-sebut bakal menjadi pencabar terhebat musim ini selepas pasukan berkenaan membawa masuk tiga bintang kebangsaan ke skuad mereka.
Memetik laporan media sebelum ini, tiga pemain berkenaan yang berhasil diikat Melaka Titans adalah Mohammad Syahir Rosdi (tekong), Mohamad Azlan Alias (apit kanan) dan Muhammad Zaim Razali (apit kiri).
Mengenai barisan pemain import yang bakal menyertai Perak Bison, pemain yang mesra dengan panggilan Bangau itu mengesahkan kemungkinan ada pemain dari Thailand, khususnya untuk posisi tekong dan perejam.
Namun, identiti pemain tersebut belum diumumkan rasmi oleh pihak pasukan.
Melaka Titans dinobatkan juara saingan divisyen satu STL. — Facebook/STL
Walaupun belum memutuskan barisan pemain, Perak Bison sudah meletakkan sasaran ke untuk melangkah ke peringkat separuh akhir dan seterusnya ke final STL untuk membawa pulang kejuaraan.
"Import itu kemungkinan ada. Tapi saya tak tahu lagi siapa. Sebab Perak pun tak umum lagi. Kena tunggu pemain Perak Bison umumkan, baru boleh saya cakap. Kebanyakan daripada Thailand lah. Mungkin tekong dan killer.
“Harapan saya setiap minggu masuk ke separuh akhir dulu, lepas itu ke final dan dapat kejuaraan, insyaALLAH,” ujar Noraizat dengan penuh semangat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram