Tersungkur di laman sendiri, bekas perejam negara kongsi tekong Penang Black Panther belum cukup berpengalaman


  • Podium
  • Selasa, 22 Okt 2024

Impian Penang Black Panthers untuk meraih keputusan positif di gelanggang sendiri tidak kesampaian apabila tersungkur di peringkat Kumpulan A bagi GP Penang. — STL

TIDAK seperti pasukan tuan rumah yang lain, perjalanan Penang Black Panthers dalam saingan Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) 2024 bagi Grand Prix (GP) Penang terhenti di peringkat kumpulan.

Impian Penang Black Panthers untuk meraih keputusan positif di gelanggang sendiri itu tidak kesampaian apabila tewas straight set kepada Perak Bison (8-15,15-17) dan Negeri Sembilan Antlers (13-15,11-15) di peringkat Kumpulan A.

Meskipun mempunyai kelebihan beraksi di laman sendiri namun pasukan Utara tanah air itu tampak bergelut untuk mencari kemenangan meskipun dijangka mampu bergelar juara di Stadium SPICE Arena, Bayan Lepas, Penang.

BACA LAGI: 'Patik mohon izin meluah', penyokong Gergasi Merah kecewa status Selangor FC stabil tapi main umpama budak sekolah

BACA LAGI: ‘Basic football pun ke laut’, ada sebab fans Sang Penyu mula salahkan pemain lokal selepas ketiadaan Tomi

WhatsApp Image 2024-10-21 at 20.31.36

Penang Black Panthers (barisan kiri) tewas straight set kepada Perak Bison. — STL

Penyokong jelas kecewa dengan prestasi Black Panthers yang terpaksa akur dengan kekuatan lawan apabila tersingkir lebih awal di peringkat kumpulan.

Mengulas lanjut mengenai prestasi skuad kendalian Ahmad Supian Napiah, bekas perejam (killer) negara, Kamal Ishak berpendapat bahawa kurangnya pengalaman merupakan salah satu faktor yang menyebabkan pasukan itu terpaksa akur di laman sendiri.

"Untuk pandangan saya yang saya lihat secara luaran tapi apa yang berlaku dalaman saya tak tahu lah.

"Tapi apa yang saya lihat Penang Black Panthers untuk pasukan kali ini memang kelemahan banyak berpunca daripada tekong.

"Sebab kita tahu tekong Penang Black Panthers ini, kedua-dua mereka boleh dikatakan kurang pengalaman kerana masih muda," katanya kepada Majoriti.

Kamal Ishak

Kamal Ishak (dua kiri) membuat libasan ketika menentang Filipina pada aksi sepak takraw beregu lelaki pada Sukan SEA 2017. — STL

Kamal, yang juga bekas perejam Black Panthers itu mengakui bahawa belum tiba masanya untuk tekong Penang Black Panthers bersinar.

"Bukan saya kata tekong Penang Black Panthers tak bagus, mereka bagus tapi pendapat saya, belum tiba masa mereka untuk beraksi dengan lebih cemerlang.

"Mungkin lagi setahun ataupun dua tahun mereka boleh matang dalam permainan, apa yang saya boleh katakan mereka belum cukup pengalaman," kongsinya.

Di samping itu, Kamal turut memberi pandangan kepada pasukan yang diuruskan oleh Mohd Hasnul Hadi Abdul Rashid itu untuk membawa masuk tekong import atau pemain berpengalaman bagi membantu memperbaiki rentak permainan kelab berkenaan.

WhatsApp Image 2024-10-21 at 20.31.35

Sebahagian aksi antara Penang Black Panthers (jersi biru) bertemu Negeri Sembilan Antlers di peringkat Kumpulan A. — STL

"Sepatutnya Penang perlu letak satu tekong import ataupun tekong yang lebih berpengalaman.

"Sebab kedua-dua tekong ini kurang pengalaman dan disebabkan itu mereka tetap berada dalam ritma sama walaupun sering bertukar-tukar bagi setiap perlawanan.

"Sebagai contoh, servis yang dihasilkan oleh mereka mudah dibaca dan tidak boleh mengelirukan pihak lawan," jelasnya.

Selepas ini, saingan STL akan berlangsung di GP Johor yang bermula pada 29 Oktober hingga 2 November. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram