
PENYERANG muda Harimau Malaya, Fergus Tierney, meneruskan aksi cemerlangnya di Liga Thailand dengan satu lagi jaringan buat kelabnya.
Selepas mencetak gol pertamanya untuk Nakhon Pathom dalam perlawanan menentang Uthai Thani sebelum ini, nama Fergus kembali menjadi sebutan dalam kalangan peminat bola sepak tempatan.
Pada perlawanan minggu ke-27, Fergus diberi kepercayaan untuk berada dalam kesebelasan utama Nakhon Pathom ketika mereka berdepan kelab gergasi Thailand, Muangthong United FC, di laman sendiri pada Ahad (30 Mac).
BACA LAGI: [VIDEO] 'Mari tumbuk aku', Johan Ghazali cabar lelaki pukul wanita di Senawang
BACA LAGI: Gaji mininum Liga M RM3,000? Ada pemain tak sanggup 'downgrade' jika ubah struktur bayaran
Keputusan jurulatih Thongchai Sukkoki meletakkannya dalam barisan utama dibalas dengan gol awal pada minit ke-11.
Fergus berjaya menyambar bola muntah hasil percubaan rakan sepasukannya, Valdo, sekali gus meletakkan namanya dalam senarai penjaring.
Ini merupakan gol kedua pemain pinjaman Johor Darul Ta’zim sejak menyertai skuad The King Tigers pada Januari lalu.
Namun, jaringan tersebut masih belum cukup untuk membantu pasukannya mencatat kemenangan dalam perlawanan ini.
Muangthong United berjaya bangkit dengan dua gol sebelum Veljko Filipovic menyamakan kedudukan buat Nakhon Pathom.
Bagaimanapun, dua lagi jaringan daripada pasukan lawan memastikan mereka membawa pulang tiga mata penuh.
Perlawanan berakhir dengan keputusan Nakhon Pathom 2-4 Muangthong United.
Meskipun pasukannya tewas, Fergus tetap menampilkan aksi berkualiti apabila menerima penilaian 7.3 daripada Sofascore, menjadikannya antara pemain terbaik dalam perlawanan tersebut.
Seorang lagi pemain tempatan, Muhammad Abu Khalil, turut berada dalam kesebelasan utama Nakhon Pathom tetapi terpaksa dikeluarkan lebih awal oleh Thongchai Sukkoki pada minit ke-32.
Seterusnya, Fergus, Muhammad dan rakan sepasukan lain bakal menghadapi Rayong FC dalam aksi Thai League 1 pada 6 April di gelanggang sendiri dengan harapan untuk memperbaiki kedudukan dalam liga. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram