Bantuan cecah RM5 juta, ramai pelik isu air UMS masih belum selesai


  • Massa
  • Selasa, 03 Jun 2025

Isu bekalan air di UMS belum diselesaikan dengan penuntut, termasuk pelajar antarabangsa pasti terkesan.

ISU bekalan air di Universiti Malaysia Sabah (UMS) bukanlah perkara baharu kerana penuntut di institut pendidikan tinggi awam (IPTA) itu sering terjejas setiap kali berlaku gangguan.

Jadi, dalam usaha menyelesaikan kemelut tersebut, Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Shahelmey Yahya menegaskan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) akan mengemas kini tahap air di tangki R13 setiap jam.

Langkah tersebut diambil bagi membantu pihak pengurusan IPTA berkenaan untuk melakukan kerja-kerja pengepaman air secara berkala untuk memastikan bekalan dapat diterima secara lebih menyeluruh.

BACA LAGI: Penduduk tadah tangan syukur, bekalan air terjejas di Pulau Pinang dijangka pulih sepenuhnya Isnin

BACA LAGI: Kelam kabut sejak Jumaat malam, lebih 1.4 juta penduduk Pulau Pinang alami masalah bekalan air

Isu bekalan air di UMS sering terjejas meskipun sudah berkali-kali disuarakan.

"Komponen baharu untuk mengenal pasti tahap air dalam tangki akan dipasang dalam tempoh seminggu atau dua minggu lagi. Saya akan melawat UMS sekali lagi bagi memastikan urusan kedua-dua pihak berjalan lancar," katanya.

Meskipun penyelesaian diambil itu belum boleh memastikan bekalan air mencukupi, ia sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban ditanggung penuntut IPTA tersebut setiap kali gangguan berlaku.

Namun, bagi penduduk di negeri berkenaan, langkah diambil itu belum cukup memuaskan kerana terdahulu, peruntukan dana mencecah jutaan ringgit sudah disediakan bagi menyelesaikan perkara tersebut.

"Jadi, selama ini, peruntukan RM3 juta untuk projek air UMS itu belum dapat menyelesaikan masalah pam dan tangki R13 ke sehingga penuntut diarah pulang lebih awal ketika cuti semestar, lebih-lebih lagi pelajar antarabangsa?" soal Asis Jambo.

Anwar pernah mempersoalkan isu bekalan air yang kerap berulang di UMS.

"Duit peruntukan mencecah jutaan ringgit sudah disalurkan, tetapi masih tidak selesai. Dahulu, banyak alasan kata ada yang sambungan haram, sekarang isu pam pula. Jadi, RM5 juta diterima ke mana?" kata Raman Rahman.

"Kalau rosak, gantikanlah pam dengan yang baharu. Adakah risau sekiranya kontraktor tidak mempunyai projek lain? Peruntukan sudah banyak diberikan, bukan? kata Dzul Kifli.

Pada Mei 2023, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah memperuntukkan dana RM3 juta untuk menyelesaikan masalah di universiti tersebut sebagai usaha mengurangkan beban dialami kira-kira 20,000 mahasiswa.

Bagaimanapun, isu berkenaan masih belum diselesaikan dengan Anwar sekali lagi bersuara pada Jun tahun lalu dengan mempersoalkan hasil daripada suntikan kewangan tersebut kerana ia sekali lagi berlaku.

Jadi, sebagai usaha mengelak situasi itu terjadi, kerajaan pusat menyalurkan dana tambahan RM2 juta pada Jumaat lepas selepas menyedari terdapat isu kebocoran air di UMS. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram