Penduduk tadah tangan syukur, bekalan air terjejas di Pulau Pinang dijangka pulih sepenuhnya Isnin


  • Massa
  • Ahad, 27 Apr 2025

Bekalan air yang terganggu di Pulau Pinang sejak Jumaat lalu kini sudah dipulihkan. — PBAPP

SEBANYAK 70 peratus pengguna di lima daerah Pulau Pinang yang terjejas susulan pelaksanaan 23 projek naik taraf akan menerima bekalan air sepenuhnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk K Pathmanathan berkata, seramai 228,915 daripada 341,708 pengguna telah menerima bekalan setakat 4 petang Ahad.

Katanya, meskipun terdapat kelewatan dalam menyiapkan Saluran Paip Menyeberangi Sungai Perai (SP-RCP), pihaknya akan terus berusaha ke arah memulihkan bekalan air untuk semua pengguna yang terjejas seperti dirancang. 

BACA LAGI: Kelam kabut sejak Jumaat malam, lebih 1.4 juta penduduk Pulau Pinang alami masalah bekalan air

BACA LAGI: Kluster wabak misteri dikesan di Yan, lebih 30 pelajar sekolah dijangkiti

Kerja-kerja menaik taraf saluran air sudah diselesaikan dalam tempoh tiga hari oleh PBAPP. — PBAPP

Beliau berkata, bekalan air membabitkan kawasan kejiranan di hujung paip (EoL) dan kawasan tinggi di Seberang Perai Selatan serta Barat Daya dijangka pulih sepenuhnya pukul 10 pagi Isnin.

"Dengan adanya, infrastruktur pengepaman air terawat yang dinaik taraf di pelbagai lokasi di kawasan perkhidmatan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua, PBAPP akan mengepam sebanyak mungkin air terawat dengan selamat dari LRA terbesar Pulau Pinang dalam tempoh 24 jam akan datang.

"Ketika ini PBAPP sedang melakukan ujian dan melepaskan angin yang terperangkap dalam saluran paip bagi memastikan penyaluran air kepada pengguna berjalan lancar," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad. 

Berita gembira itu sekali gus membuatkan penduduk Pulau Pinang lega dan bersyukur kerana tidak perlu mencatu air. 

"Alhamdulillah, tahniah Pulau Pinang. Sekurang-kurangnya progresif dalam naik taraf bab air," komen Awatif Fakhira.

"Alhamdulillah, Sri Bayu Bayan Lepas dah ada air, terima kasih PBAPP," ucap Amy Amyza

Sebelum ini, lebih 1.4 juta penduduk negeri itu berdepan dengan masalah gangguan bekalan air. 

Saluran yang ditutup itu sekali gus menyebabkan penduduk tergesa-gesa menyimpan bekalan air di rumah termasuk premis sejak pukul 10 malam Jumaat lalu. — Majoriti 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram