'Lebih layak dan berpengalaman', Johari Abdul Ghani diramal bakal ganti Rafizi


  • Massa
  • Khamis, 29 Mei 2025

Johari Abdul Ghani (kiri) diramal bakal menggantikan Rafizi (kanan) sebagai Menteri Ekonomi yang baharu.

PENGUNDURAN Rafizi Ramli sebagai Menteri Ekonomi menjadi topik hangat dalam kalangan rakyat Malaysia ketika ini.

Rafizi juga dilaporkan bakal menamatkan perkhidmatannya dalam Jemaah Menteri pada 17 Jun depan.

Berita itu sekali gus mencetuskan persoalan ramai tentang calon-calon pengganti sesuai untuk mengisi jawatannya.

BACA LAGI: Rafizi undur diri, ada yang nasihatkan Ahmad Maslan supaya jangan gembira terhadap kedukaan orang lain

BACA LAGI: [VIDEO] Kecoh muka Presiden Perancis ditampar isteri, alasannya sekadar gurauan

Rafizi Ramli bakal menamatkan perkhidmatannya dalam Jemaah Menteri pada 17 Jun ini.

Rata-rata warga maya turut mencadangkan beberapa nama ahli politik yang dilihat berpotensi menggantikan posisi Rafizi.

Antara nama yang dicalonkan adalah Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang sedang menyandang jawatan Menteri Perladangan dan Komoditi.

Mengulas lanjut, pengguna akaun Facebook Hashim Chonel beranggapan bahawa kelayakan Johari sebagai ahli korporat dipercayai mampu menjalankan tanggungjawab itu dengan baik.

Bukan itu sahaja, pengalamannya dalam bidang ekonomi serta sumbangannya kepada syarikat-syarikat terkenal di Malaysia tidak dapat dinafikan lagi boleh menjalankan tugas sebagai Menteri Ekonomi.

Nama Johari juga sebelum ini dilaporkan tercalon dalam senarai pengganti kerusi Rafizi.

Namun, belum ada keputusan rasmi berhubung perkara itu setakat ini.

Selain Rafizi, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad juga mengumumkan peletakan jawatannya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagaimanapun memaklumkan bahawa pihaknya masih belum merancang untuk melakukan rombakan Kabinet susulan pengunduran diri dua menteri berkenaan.

Menurutnya, mereka masih bercuti dan kerajaan tidak boleh menggantikan menteri yang sedang bercuti.

Pada Rabu, Rafizi dan Nik Nazmi mengumumkan peletakan jawatan masing-masing daripada Kabinet yang berkuat kuasa 17 Jun dan 4 Julai, berikutan kekalahan mereka dalam pemilihan parti Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2025 minggu lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram