Lesen memandu fizikal mudahkan urusan rakyat, lagi-lagi pekerja sektor e-hailing, penghantar makanan


  • Massa
  • Khamis, 22 Mei 2025

Illustrasi terkini Lesen LMM dilengkapi ciri-ciri keselamatan yang telah dipertingkatkan.

RATA-RATA pengguna media sosial menyuarakan harapan agar kerajaan mempertimbangkan semula keputusan mengehadkan pengeluaran fizikal Lesen Memandu Malaysia (LMM) versi baharu hanya kepada warganegara yang akan ke luar negara.

Isu tersebut tercetus selepas Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memperkenalkan rekaan terbaharu LMM yang dilengkapi ciri keselamatan dipertingkatkan pada Rabu. 

Namun, lesen fizikal itu hanya akan dicetak bagi permohonan kategori tertentu sahaja, antaranya bagi rakyat Malaysia yang perlu menggunakannya di luar negara.

BACA LAGI : [VIDEO] Sapu muka dengan krim buasir? Pakar dedah risiko bahaya trend TikTok

BACA LAGI : Boleh tahan hingga 10 tahun, kad baharu lesen memandu terhad 2 kategori saja — JPJ

Perkara itu mengundang pelbagai reaksi warga maya yang mahu kerajaan memberi pilihan kepada rakyat untuk memiliki lesen fizikal seperti sebelum ini.

Seorang pengguna Facebook, Bile SoDuo Tigo berpandangan rakyat wajar diberi pilihan untuk memiliki kad lesen fizikal tanpa perlu memenuhi syarat keluar negara.

"Kami mahu diberi pilihan memiliki lesen memandu fizikal seperti sebelum ini. Bukan hanya untuk mereka yang ke luar negara atau warga asing. 

"Kad LMM fizikal masih relevan," katanya.

Cetakan fizikal kad LMM  itu terhad kepada dua kategori iaitu warganegara Malaysia yang melancong ke luar negara dan bukan warganegara sahaja.

Pendapat itu turut disokong seorang lagi pengguna maya, Areyusi Maru yang menekankan kepentingan lesen fizikal khususnya bagi pekerja dalam sektor e-hailing dan penghantaran makanan.

"Nak masuk ke rumah pelanggan yang ada pengawal keselamatan, kami perlu tunjuk lesen. Kalau lesen hanya dalam telefon, terpaksa beri telefon pintar kepada pengawal keselamatan untuk semakan."

"Telefon adalah privasi individu, jadi harap dipertimbangkan kelonggaran untuk pekerja dalam sektor ini memiliki lesen fizikal," katanya.

Sementara itu, seorang lagi pengguna Facebook Siti Syafiqah mempersoalkan kesediaan infrastruktur digital di lokasi luar bandar. 

"Di bandar mungkin lesen digital boleh diguna pakai tetapi tidak di kawasan pedalaman. Bayangkan juga ada sesetengah orang kampung yang tidak mampu membeli telefon pintar. 

"Meskipun digitalisasi adalah langkah ke hadapan, namun ia harus disertai dengan fleksibiliti bagi memenuhi keperluan rakyat," katanya.  — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram