
SEORANG wanita warga emas berusia 92 tahun mengejutkan orang ramai apabila hadir ke Mahkamah Negeri Denpasar dekat Bali,Indonesia sebagai tertuduh dalam kes pemalsuan dokumen tanah pusaka.
Tertuduh, Ni Nyoman Reja, dalam keadaan uzur dan hanya mampu bergerak dengan bantuan kerusi roda, terpaksa duduk di kandang tertuduh ketika prosiding perbicaraan pertama berlangsung baru-baru ini.
Rakaman video kehadiran nenek tua itu di mahkamah turut tular di media sosial, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi dan simpati dalam kalangan masyarakat yang menyifatkan proses undang-undang yang dihadapinya sebagai terlalu berat untuk usia senja sepertinya.
BACA LAGI: Imam masjid ditemukan lemas 100 meter dari Jeti Kampung Semaloi
BACA LAGI: Mengaku dapat 'back up' polis, mamat Rohingya cabar kesabaran penduduk Kemaman
Difahamkan, kes melibatkan Ni Nyoman Reja berkaitan dakwaan penipuan serta pemalsuan dokumen dalam perebutan hak milik tanah pusaka.
Memetik laporan media antarabangsa, konflik bermula apabila timbul pertikaian mengenai dokumen salasilah keluarga yang dikatakan dipalsukan oleh tertuduh untuk menuntut sebidang tanah pusaka.
Pihak yang membuat laporan dari Puri Jambe Suci mendakwa bahawa dokumen digunakan oleh warga emas itu adalah tidak sah dan menyebabkan kerugian kepada pihak lain yang turut mempunyai hak ke atas tanah berkenaan.
Susulan itu, pihak pendakwa raya mendakwa Ni Nyoman atas tuduhan menipu dan memalsukan dokumen rasmi.
Seorang warga emas berusia 92 tahun mengejutkan orang ramai apabila hadir ke Mahkamah Negeri Denpasar dekat Bali,Indonesia sebagai tertuduh dalam kes pemalsuan dokumen tanah pusaka.
Ni Nyoman Reja, dalam keadaan uzur dan hanya mampu bergerak dengan bantuan kerusi roda. pic.twitter.com/Fa4N1kGVSC
— Nadine Ardine (@MoMoT_Nadine) May 20, 2025
Bagaimanapun, peguam tertuduh, I Made Somya Putra, menyatakan bahawa kes berkenaan sepatutnya diklasifikasikan sebagai kes sivil dan bukannya jenayah.
Katanya, tiada bukti kukuh yang menunjukkan anak guamnya melakukan penipuan secara sengaja.
Beliau turut mempersoalkan kredibiliti pihak pelapor kerana didakwa tidak mempunyai hubungan langsung dengan objek pertikaian tersebut.
Kenyataan peguam itu yang dipetik menerusi akaun Instagram @nyinyir_update_official mendapat perhatian meluas warganet.
Rata-rata netizen mempersoalkan nilai keadilan dalam sistem perundangan Indonesia, terutamanya apabila membabitkan warga emas yang uzur dan lemah seperti Ni Nyoman Reja.
"Tak ada simpati langsung ke? Umur 92 tahun pun dibicarakan macam ini," kata seorang pengguna Instagram.
Setakat berita ini ditulis, mahkamah belum membuat sebarang keputusan muktamad, dan perbicaraan dijangka bersambung minggu hadapan seperti yang dijadualkan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram