
LIMA atlet lelaki dan wanita disenarai pendek bagi merebut gelaran berprestij Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan sempena Anugerah Sukan Negara (ASN) 2024.
Pemilihan akhir dilakukan oleh Jawatankuasa Pemilihan ASN 2024 yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu.
Jawatankuasa itu menerima sebanyak 148 pencalonan daripada 11 kategori, dihantar oleh persatuan sukan kebangsaan, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM).
BACA LAGI: Liga Indonesia lebih mencabar, tiada kelab dominan seperti di Malaysia — Bojan Hodak
BACA LAGI: Jodoh berakhir di JDT, Ruo Han berpotensi ikut jejak Safawi Rasid ke NSFC
Senarai akhir calon berdasarkan pencapaian cemerlang atlet negara di pentas antarabangsa sepanjang tahun 2024.
Bagi kategori Olahragawan Kebangsaan, pemain badminton perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia mengetuai senarai pencalonan.
Turut tersenarai ialah beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, atlet wushu Wong Weng Soon, atlet angkat berat, Mohd Aniq Kasdan dan pesilat Abdul Latif Maxzakir.
Sementara itu, lima atlet wanita yang disenarai pendek untuk Anugerah Olahragawati Kebangsaan ialah pemain boling tenpin Sin Li Jane, atlet lawn bowls, Nor Farah Ain Abdullah, atlet wushu, Tan Cheong Min, pelumba basikal, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri dan pesilat negara, Nor Farah Mazlan.
Bagi kategori Olahragawan Paralimpik Kebangsaan, juara dunia powerlifting, Bonnie Bunyau Gustin mendahului senarai pencalonan.
Beliau disertai oleh Muhammad Ziyad Zolkefli, Datuk Abdul Latif Romly, Eddy Bernard (kesemuanya dalam acara para olahraga) dan pemain badminton para, Cheah Like Hou.
Lima calon bagi Olahragawati Paralimpik Kebangsaan pula ialah pelumba para berbasikal, Nur Azlia Syafinaz Mohd Zais dan Nur Suraiya Muhamad Zamri, atlet boccia, Noor Askuzaimey Mat Salim, pemain lawn bowls, Hasmunirah Malik serta atlet para olahraga Noor Imanina Idris.
Pemenang bagi setiap kategori utama akan menerima sebuah piala, piala iringan, sijil penghargaan serta wang tunai berjumlah RM20,000.
Selain empat kategori utama, ASN 2024 turut menawarkan tujuh anugerah lain termasuk Pasukan Lelaki dan Wanita Kebangsaan Terbaik, Jurulatih Lelaki dan Wanita Kebangsaan Terbaik, Anugerah Tokoh Sukan, Anugerah Kepimpinan Sukan dan Anugerah Khas.
Anugerah Sukan Negara yang mula diperkenalkan pada 1966 merupakan pengiktirafan tertinggi kerajaan kepada atlet, jurulatih, pegawai dan persatuan sukan yang mencapai kecemerlangan sepanjang tahun.
Majlis Anugerah Sukan Negara 2024 akan berlangsung pada 13 Mei 2025 (Selasa) di Hotel Dorsett Grand, Subang Jaya, Selangor. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram