KEPUTUSAN kerajaan melarang penggunaan kenderaan dikuasakan oleh gas asli mampat (NGV) berkuat kuasa Julai 2025, mendapat reaksi positif daripada pengendali bengkel kenderaan.
Seorang pakar automotif yang berpengalaman dalam pengendalian bengkel kenderaan sejak lebih 25 tahun, Nurul Izzat Mailan, 49, berpendapat langkah itu wajar kerana kelengkapan penyelenggaraan berkaitan tong gas NGV kini berdepan kekangan bekalan stok dan komponen mekanikal.
BACA LAGI: [VIDEO] Cas telefon masa tidur, lelaki di Tangerang hilang nyawa, muka dan tangan melecur teruk
Izzat berkata, proses penukaran memerlukan tiga hingga empat hari untuk mengembalikan kenderaan kepada spesifikasi asal kilang.
"Pembekal alat ganti untuk sistem gas seperti tangki, saluran paip dan injap memang tiada. Pemasangannya cuma sekali sahaja dan digunapakai dalam tempoh yang tertentu.
"Kita tahu kenderaan NGV dilengkapi oleh tong gas. Rata-rata tong gas bertahan lebih kurang dalam 10 tahun sahaja dan sekarang kita dah menjangkau kepada 20 tahun. Jadi, bekalan tong gas sebenarnya tidak disediakan.
"Macam saya sendiri apabila kendalikan NGV, kami lebih kepada isu komponen mekanikal. Selalunya kami akan nasihatkan pelanggan untuk pergi balik kepada pembekal mereka di mana mereka memasang kelengkapan tersebut," katanya kepada Majoriti.
Menurutnya, NGV adalah sistem tambahan yang dipasang pada enjin petro dan proses penukaran memerlukan usaha untuk mengembalikan kenderaan kepada spesifikasi asal kilang.
Proses tersebut melibatkan penanggalan komponen seperti tangki gas, sistem saluran paip, dan sistem komputer NGV, diikuti dengan pemasangan semula komponen asal serta pemetaan (remapping) enjin untuk membaca hanya satu bahan api, iaitu petrol.
"Biasanya, proses ini mengambil masa tiga hingga empat hari yang mana ia melibatkan keseluruhan sistem, pipeline, tank, sistem komputer kenderaan.
"Untuk NGV, kita akan cabut semua dan kita akan buat pemetaan semula enjin kenderaan itu kepada yang asal," jelas pengendali salah sebuah bengkel kenderaan di Shah Alam itu.
Mengulas mengenai kos peralihan, beliau berkata, ia membabitkan kos sekitar RM800 hingga RM2,000 bergantung kepada model dan saiz kenderaan.
Bercakap mengenai cabaran, Izzat menekankan bahawa kenderaan yang telah lama menggunakan NGV, terutama melebihi 10 tahun, berisiko menghadapi masalah kerosakan komponen semasa proses penanggalan.
Jelasnya lagi, tambahan kos mungkin berlaku sekiranya terdapat kerosakan pada komponen akibat usia kenderaan atau suhu tinggi yang dihasilkan oleh NGV, iaitu sekitar 120 hingga 130 celsius berbanding petrol yang hanya 100 celsius.
"Apabila kenderaan 10 tahun dan menggunakan NGV sepenuh masa, jadi suhu enjin menjadi semakin panas menyebabkan sistem pendawaian kenderaan tu secara automatik akan mengeras dan keadaan tersebut akan meningkatkan risiko pecah atau rosak," katanya.
Dari segi penyelenggaraan pula, beliau berkata, tidak dinafikan kenderaan NGV memerlukan servis yang lebih kerap berbanding petrol.
"Untuk petrol, penyelenggaraan biasanya dilakukan setiap 5,000 hingga 10,000 kilometer (km), bergantung pada jenis minyak enjin.
Tetapi NGV memerlukan servis setiap 3,000 km kerana enjin NGV lebih panas, menyebabkan minyak hitam cepat meluap," katanya.
Justeru, beliau menyokong keputusan kerajaan untuk menamatkan sepenuhnya penggunaan kenderaan NGV kerana ia mendatangkan lebih banyak risiko.
Tahap kesediaan industri automotif selenggara EV
Dalam pada itu, beliau turut menyambut baik jika keputusan Kementerian Pengangkutan (MOT) itu adalah sebenarnya memberi ruang kepada perkhidmatan teksi menggunakan kenderaan elektrik (EV), namun perlu melihat kepada tahap kesediaan infrastruktur.
"Infrastruktur dan stesen pengecasan kita masih terhad tetapi tidak mustahil dalam masa akan datang, stesen pengecasan berada di merata tempat termasuk di luar bandar.
Selain itu, beliau juga mengulas tentang pencemaran yang terhasil dari sesebuah kenderaan itu sendiri dan kenderaan EV juga tidak terlepas daripada menghasilkan pencemaran khususnya selepas tamat tempoh bateri yang mana ia memerlukan proses pelupusan.
Bagaimanapun, beliau percaya bahawa setiap bateri yang sudah tamat tempoh itu memberi manfaat lain melalui pengitaran semula.
Bateri kenderaan yang tidak diguna lagi di bengkel Izzat dijual kepada pembekal bateri untuk dikitar semula menjadi bahan lain.
"Apa-apa kenderaan, bila sampai satu tahap pelupusan, semua akan menjadi pencemaran. Kalau bateri sendiri dilupuskan, saya yakin pasti ada kelebihan untuk tujuan lain dengan mengitar semula bateri-bateri tersebut.
"Saya sanggup beli bateri pelanggan yang rosak pada kadar yang dipersetujui dan menjualnya semula kepada pembekal bateri untuk mereka mengitar semula menjadi bahan lain," jelasnya.
Selain itu, beliau turut menyuarakan keperluan untuk meningkatkan latihan dan kepakaran mekanik tempatan dalam teknologi EV. Beliau memuji usaha agensi kerajaan seperti Malaysia Automotive Robotics and IoT Institute (MARii) yang menyediakan program latihan teknologi, tetapi menekankan bahawa kesukaran menghadiri kelas kerana kekangan kerja masih menjadi cabaran utama.
"Saya sendiri dah 25 tahun dalam industri, tapi belajar teknologi baru macam EV ini, banyak kena buat sendiri. MARii ada sediakan kelas, tapi kadang-kadang lokasi dan masa tak sesuai," katanya.
Alat peranti yang digunakan bagi mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh kenderaan yang rosak.
Izzat juga mengakui masih perlu kemahiran dan kelengkapan berkaitan teknologi yang lebih mantap kerana kenderaan EV yang rosak memerlukan sistem pengkomputeran dalam proses selenggara.
Justeru, beliau mahu kerajaan untuk memberikan sokongan melalui kelengkapan-kelengkapan terlibat berikutan ia menelan belanja yang sangat tinggi sehingga mencecah ratusan ribu.
"Kami harapkan kerajaan membantu kami dari segi kelengkapan-kelengkapan kerana EV ni kenderaan yang dikomputerkan yang mana kami sendiri agak berat untuk menyediakan kelengkapan-kelengkapan tersebut kerana kosnya boleh mencecah hingga ratusan ribu.
Tambahnya lagi, jumlah itu tidak termasuk lesen perisian yang perlu diperbaharui setiap tiga tahun di mana ia melibatkan jumlah sebanyak RM3,000 sekali gus membebankan golongan pengendali automotif.
Oleh itu, dengan sokongan yang lebih kukuh daripada kerajaan dan pihak berkaitan, Izzat yakin bahawa Malaysia mampu menjadi peneraju dalam teknologi automotif hijau.
Peningkatan penggunaan EV bukan sahaja membuka peluang kepada perniagaan tempatan, tetapi juga membantu Malaysia mencapai sasaran alam sekitar dan teknologi yang lebih mampan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram