Tubuh koperasi bantu Perak bagus tapi lebih baik mula dari bawah — Sayf Che Ismail


  • Podium
  • Isnin, 05 Mei 2025

Pemain Perak FC bergambar selepas aksi terakhir menentang Sabah FC saingan Liga Super. — Facebook/Perakfc

PENYOKONG mana tidak sedih selepas mendengar pasukan kesayangan mengangkat bendera putih daripada terus bersaing daripada saingan Liga Super susulan masalah kewangan yang sudah tidak boleh diselamatkan. 

Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Azim Zabidi berkongsi bahawa pihaknya sudah melakukan yang termampu untuk membangunkan skuad The Bos Gaurus (TBG) termasuk membelanjakan hampir RM40 juta.

Drama tersebut seperti ulang tayang situasi 2020 apabila pasukan berpangkalan di Utara tanah air berkenaan pernah mengalami perkara sama sehingga menyaksikan mereka tergelincir ke divisyen bawahan.

BACA LAGI: 'Satu hati demi Perak FC', tubuh koperasi jadi harapan demi hidupkan semula TBG

BACA LAGI: Ivan Mamut luah kecewa, gaji tak dibayar lebih 9 bulan

Walaupun Perak FC telah disahkan menarik diri daripada saingan Liga Super musim depan akibat masalah kewangan yang berpanjangan, semangat dan kesungguhan penyokong untuk melihat pasukan itu terus 'hidup' tidak pernah pudar.

Sebagai langkah awal memulihkan isu kewangan, laman pengikut Perak di Facebook iaitu Seladang Black Side mengemukakan cadangan untuk menubuhkan sebuah koperasi penyokong bagi mengumpul dana secara sistematik. 

Menerusi satu hantaran, laman Facebook tersebut mencadangkan agar setiap ahli menyumbang RM100 setahun sebagai usaha bersama menyelamatkan kelab. 

Melontarkan pendapat mengenai pelaksanaan koperasi itu, pemerhati sukan tanah air iaitu Sayf Che Ismail tidak menafikan ia merupakan satu idea yang bernas namun sukar untuk direalisasikan dalam landskap Liga Super. 

Menurutnya, masalah utama sekarang adalah kos operasi yang sangat tinggi dan untuk sebuah pasukan yang kompetitif dalam Liga Super memerlukan mereka untuk mematuhi syarat Lesen Kebangsaan termasuk menubuhkan pasukan Piala Belia dan Piala Presiden.

 

Usaha penyokong skuad Seladang untuk menyelamatkan Perak FC. — Facebook/SeladangBlackSide

"Kos untuk menubuhkan kelab dalam RM20 ke RM30 juta setahun. Laratkah berapa ramai ahli yang nak membayar supaya dapat sekurang-kurangnya RM20 juta setahun? Berapa ramai yang kena keluarkan duit ni? 

"Dan siapa yang mengurus duit ini? Nak lantik siapa jadi ketua pegawai eksekutif (CEO)? Bagaimana tadbir urus mereka. Saya pun pernah dengar dulu Kedah ada percubaan, koperasi anak kedah. Dari segi penglibatan komuniti itu bagus. 

"Cuma saya rasa kalau tak, kos dia masih terlalu tinggi. Ambil masa yang lama itu memerlukan komitmen yang tinggi pada penyokong lah. Contohnya ada 20,000 ahli, bagi RM1,000 seorang. 20,000 ahli dapatlah RM20 juta itu. Tapi stadium tiket yang RM20 ringgit susah. 

"Dari segi idea untuk menubuhkan koperasi memang bagus tetapi dari segi praktikal itu belum. Pihak yang berwajib kena cuba tengok macam nak mengurangkan kos," katanya kepada Majoriti

Sayf berpendapat, sudah tiba masanya untuk melepaskan sistem bola sepak berasaskan negeri (state system). Sebagai contoh, Perak FC wajar dijadikan sebuah kelab berasaskan komuniti, seperti di peringkat daerah atau bandar seperti Ipoh. 

Pemerhati sukan tanah air iaitu Sayf Che Ismail.

Menurutnya, jika Perak FC bermula semula dari bawah, seperti bermain di Liga A1 atau M4 dan bertanding dengan kelab-kelab seperti dari Teluk Intan, ini dapat membuka lebih banyak peluang untuk pembangunan akar umbi.

"Antara masalah yang saya nampak ni state system ni memang legasi kita. Tapi untuk membanyakkan kelab komuniti, tidak cukup 13 negeri saja. Saya rasa mungkin inilah masanya kalau Perak dah tak boleh nak sambung, Perak tukar Ipoh FC .

"Kena main daripada bawah and build slowly sampai boleh naik atas. Saya rasa itu dia punya solution. Selepas itu banyak kelab komuniti lain. Dari segi pembangunan bakat pun lebih baik. Sebab bila ada daerah ini, ada lagi banyak peluang. Banyak-banyak kolam untuk cungkil bakat. 

"Saya rasa kena mula daripada bawah. Mula-mula pada kos yang paling rendah. Macam komuniti di Kerteh FC lah. Kos Kerteh FC rendah. Maksudnya mungkin dengan seribu ahli bayar RM50 sebulan dah boleh, dah cukup," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram