Status anak jati Semporna bukan ‘tiket mudah’ striker muda raih lebih minit permainan bersama The Rhinos


  • Podium
  • Selasa, 13 Mei 2025

Jentera serangan skuad Sang Badak masih tumpul meskipun menamatkan saingan di tangga ketiga musim lalu. — Facebook/Sabah FC

MESKIPUN berjaya mencatatkan 41 gol dalam saingan Liga Super musim lalu, jentera serangan Sabah FC masih boleh dikatakan tumpul kerana ia adalah pengurangan ketara berbanding kempen 2023.

Hal itu disebabkan skuad Sang Badak tidak memiliki penyerang prolifik sepanjang musim dengan Darren Lok terus mengalami kecederaan sementara Joao Pedro hanya kekal untuk beberapa bulan.

Jadi, kelab Borneo tanah air tersebut perlu mencari jalan penyelesaian terbaik bagi memastikan barisan hadapan terus berbisa sepanjang musim, lebih-lebih lagi sekiranya mereka meraih slot ke Piala Shopee.

BACA LAGI: Sama level Arif Aiman, DOKS tak patut 'peram' Azhad Harraz di bangku simpanan

BACA LAGI: [VIDEO] Stano mula runsing, hilang 4 pemain, termasuk Saddil ke Darul Aman

Darren Lok memikul peranan sebagai penyerang utama skuad Sang Badak dengan baik. Facebook/Sabah FC

Bagaimanapun, melihat kepada pemain sedia ada, pasukan kendalian Martin Stano itu seperti buntu dalam mencari peledak baharu kerana Darren Lok merupakan satu-satunya penyerang berkualiti.

Namun, tidak boleh dinafikan bahawa 'ubi muda' Sang Badak, Azhad Harraz perlu diberi minit permainan lebih kerap kerana usai menembusi skuad utama pada 2022, dia sukar meraih peluang.

Ini kerana pihak kejurulatihan, termasuk semasa Datuk Ong Kim Swee masih bergelar ketua jurulatih enggan memberi kepercayaan penuh kepadanya untuk mengetuai jentera serangan pasukan.

Tetapi, sekiranya ditanya penyokong Sabah FC, mereka beranggapan statusnya sebagai anak jati Semporna, Sabah bukanlah alasan baginya mendapat peluang lebih kerap bagi saingan Liga Super.

Perkara tersebut adalah disebabkan masing-masing berharap penyerang berusia 22 tahun itu supaya meningkatkan mutu permainannya jika mahu meraih minit permainan bagi kempen akan datang.

Azhad (kiri) diharapkan mampu menambah baik rentak permainan demi kelangsungan karier sendiri. Facebook/Sabah FC

"Nasihat kepada kamu, bekerja keras dalam latihan, lebih kan masa di padang berbanding bersama rakan-rakan. Teladani kerja keras bintang-bintang bola sepak dunia dan bekerjalah untuk masa depan sendiri," kata Saimin Subrik.

"Sebenarnya bukan isu anak jati atau tidak. Tetapi, jika dalam diri itu ada rasa tanggungjawab, mesti mahu bermain dengan sebaiknya. Penyokong bayar tiket, beli jersi dan langgan Internet untuk tonton anda beraksi, tetapi janganlah bermain secara mengecewakan," kata Hilmi.

"Sudah tiga musim bersama Sabah FC, langsung tiada peningkatan. Berapa kali sudah Kim Swee beri peluang, namun masih gagal berada di hati coach? Sebenarnya, dia lah satu-satunya harapan penyokong Sabah, tetapi hanya disia-siakan," kata Yusrarai Yusrai.

Untuk rekod, sepanjang beraksi buat pasukan utama Sang Badak, Azhad sudah muncul sebanyak 28 kali dalam semua pertandingan domestik, namun tiada sebarang gol dicatatkan.

Pulangan mengecewakan itu pasti menjadi alasan bagi barisan kejurulatihan Sabah FC untuk tidak menurunkannya lebih kerap meskipun tiada lagi penyerang tunggal dimiliki selainnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram