LUMRAH kehidupan, setiap orang cenderung memiliki perjalanan berbeza baik dalam karier mahupun kehidupan peribadi meskipun mereka bermula pada titik sama.
Situasi tersebut jelas terjadi pada pemain muda Sabah FC, Azhad Harraz yang memulakan karier bersama bintang Johor Darul Takzim, Arif Aiman sewaktu bergelar pelatih Akademi Mokhtar Dahari (AMD).
Namun, Arif kini bergelar bintang bersama pemain-pemain Johor Darul Takzim (JDT), manakala Azhad pula tenggelam dalam lautan pemain-pemain bola sepak tanah air semenjak dia menyarung jersi Sabah FC.
Dari segi bakat, Azhad menyinar ketika dia bersama pasukan FAM-MSN apabila mengumpul lapan gol dalam 20 penampilannya bersama skuad 'lepasan sekolah' tersebut pada musim lalu.
Pada musim sama, dia telah dicalonkan bagi anugerah penyerang terbaik dan anugerah pemain muda terbaik di Anugerah Bola Sepak Kebangsaan FAM 2021.
Arif kini merupakan permata bagi Harimau Selatan. — Facebook/JDT
Bagaimanapun bersama skuad Sang Badak, pemain dengan ketinggian 1.71 meter itu tidak mencatatkan sebarang gol dalam 11 penampilannya setelah hanya mengumpul 93 minit permainan pada musim ini.
Berikutan itu, penyokong Sabah FC, Harith Adam meminta jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee (DOKS) untuk memberikan lebih peluang kepada bintang dalam pembikinan tersebut.
Tambahnya, tidak adil sekiranya prestasi pemain berusia 19 tahun itu diukur bersama dengan pemain-pemain yang sering diturunkan dalam kesebelasan utama.
"Arif Aiman, berumur 19 tahun sudah diturunkan dalam kesebelasan utama JDT, tapi Azhad ini jarang dapat tempat dalam kesebelasan utama Sabah FC.
"Macam mana nak tahu kemampuan sebenar dia kalau sering duduk di bangku simpanan. Kalau dia dapat peluang main pun, di hujung-hujung permainan sahaja.
Bakat Azhad Harraz (kanan, depan) menjadikannya seorang prospek muda yang wajar digilap Sabah FC. — Facebook/ Sabah FC
"Sampai bila mahu mengharapkan pemain-pemain veteran. Kalau dia ni diberi peluang dari awal musim liga tahun 2023, sepatutnya Sabah FC dah boleh lega," jelasnya.
Mengulas lanjut, Harith turut berpendapat, tindakan DOKS memeram pemain muda itu di bangku simpanan berkemungkinan mensabotaj peluangnya untuk mewakili negara.
"Gunalah pemain berkualiti di atas padang. Kalau tidak, hilang peluang dia mahu mewakili negara dalam skuad senior disebabkan kurang minit permainan. Jangan marah, ini demi kebaikan pemain muda dan lokal kita," jelasnya.
Mengikut perkhabaran, Azhad akan diturunkan dalam kesebelasan utama menentang JDT pada saingan Liga Super di Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri, Johor Bahru, Johor pada Sabtu.
Ini bermakna kedua-dua pemain bakal beraksi mewakili pasukan masing-masing di padang sama sekali gus memberikan peluang kepada pemain kelahiran Semporna itu untuk membuktikan potensi sebenar dirinya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram