
SEORANG penunggang motosikal cedera selepas motosikal dinaiki melanggar sebuah lubang yang berpunca daripada turapan tidak kemas terhadap penutup lurang (manhole) di lebuh raya berdekatan Bukit Jalil Kuala Lumpur.
Video mengenai kejadian tersebut tular selepas ia dimuat naik oleh aktivis keselamatan jalan raya, Lando Zawawi di Facebooknya pada Khamis.
Menerusi klip tersebut, seorang penunggang motosikal dilihat sudah terbaring di tengah-tengah jalan selepas dipercayai terlanggar sebuah lubang besar di lokasi.
BACA LAGI: Bil 'modify' pernah cecah RM50,000, Outsider Bikes mampu penuhi cita rasa peminat basikal
Ketika kejadian, situasi lebuh raya terbabit didapati sesak dilalui oleh lori bermuatan berat dan kereta.
Malah, mangsa juga dipercayai terjatuh dan hampir digilis oleh lori yang melalui lebuh raya tersebut.
Sebuah lori juga dilihat berhenti tidak jauh dari tempat mangsa terbaring.
Beberapa individu dilihat turut berada di lokasi untuk membantu mangsa yang didapati masih dalam keadaan sedarkan diri.
"Cuma nak tanya sahaja. Sikit lagi nak kena gilis lori. Nak buat tuntutan atau saman?" soal Lando kepada pihak berkuasa.
Dalam pada itu, perakam video terbabit yang juga seorang penghantar makanan memaklumkan dirinya turut hampir menjadi mangsa kemalangan akibat lubang yang sama sebelum ini.
"Manhole sebesar alam ini punca. Aku haritu hantar pesanan pun hampir-hampir kemalangan," katanya dalam klip berkenaan.
Begitupun, di ruangan komen, ada warganet memaklumkan bahawa lubang jalan tersebut sebenarnya sudah pun diturap selepas video berkenaan tular di media sosial pada Rabu.
"Dah tampal...Dari semalam lagi orang dah viralkan," tulis Nadzri Syadzrie yang turut berkongsikan tangkap layar video keadaan terkini jalan terbabit yang sudah diturap.
Pada masa sama, terdapat juga netizen yang melahirkan kemarahan terhadap amalan kerja yang dilaksanakan oleh pihak terlibat dalam penyelenggaran jalan khususnya melibatkan penutup lurang.
"Di Bukit Jalil ini, ada buat report guna aplikasi JKR (Jabatan Kerja Raya). Hari ini tanam terus satu lubang manhole, tapi jalan depan sikit bersepah-sepah lagi lubang," tulis Nizam Saari.
"Tempat aku dah elok-elok jalan tar cantik-cantik,esok kontraktor datang korek manhole, tapi tak pandai nak tar baik-baik semula," ujar Mohamad Afif Shukry. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram