
MEMELIHARA kucing bukan sahaja menghilangkan kebosanan malah si bulus juga boleh menjadi peneman.
Namun, terdapat komitmen jangka panjang yang perlu dipikul selain daripada sekadar bermain dengan kucing semata-mata.
Lebih-lebih lagi jika anda tinggal di ibu kota, banyak aspek yang perlu dititikberatkan bagi memastikan kucing anda kekal sihat dan aktif.
BACA LAGI: Tepis dakwaan anak ramai susah berbelanja, Alif Satar rancang legasi keluarga sejak usia muda
BACA LAGI: Air mesin penapis tak selamat diminum bayi? Ketahui kaedah terbaik bancuh susu formula
Berikut Majoriti kongsikan lima perkara penting yang perlu anda tahu sebelum memelihara kucing:
1. Insurans kucing
Masih ramai yang belum tahu bahawa terdapat insurans khusus untuk haiwan peliharaan di Malaysia.
Beberapa syarikat seperti Oyen dan MSIG menawarkan pelan insurans ini.
Insurans ini berfungsi untuk melindungi pemilik daripada kos rawatan perubatan yang tidak dijangka, kehilangan kucing, atau kemalangan, terutama bagi mereka yang memelihara kucing jenis yang mahal atau mudah jatuh sakit.
Antara perlindungan yang ditawarkan termasuk rawatan penyakit, kos perundingan veterinar, serta pampasan jika kucing hilang atau mati akibat kemalangan.
2. Hotel kucing
Jika anda sering bekerja di luar kawasan atau pulang ke kampung, amat penting untuk mengetahui tentang kewujudan hotel kucing.
Kebanyakan hotel kucing menyediakan penjagaan yang rapi, bukan sekadar memberi makan dan minum sahaja.
Anda tidak perlu risau kerana banyak hotel kucing menawarkan kemudahan seperti ruang tidur yang bersih, pengudaraan yang baik, pemantauan melalui kamera litar tertutup (CCTV), serta jadual pemberian makanan dan kebersihan yang teratur.
Namun begitu, pastikan anda memilih hotel kucing yang mempunyai ulasan positif daripada pelanggan agar tidak menyesal kemudian hari.
3. Pemilihan makanan berkualiti
Tidak semua jenis makanan sesuai untuk setiap kucing.
Setiap kucing mempunyai keperluan pemakanan yang berbeza mengikut usia dan keadaan kesihatan.
Contohnya, anak kucing memerlukan lebih banyak protein dan lemak untuk tumbesaran, manakala kucing dewasa memerlukan makanan seimbang untuk mengekalkan kesihatan.
Selain makanan kering (kibble), kucing juga perlu mendapatkan hidrasi yang mencukupi. Oleh itu, pemberian makanan basah (wet food) atau memastikan sumber air bersih sentiasa tersedia amatlah penting.
Pemilik juga disarankan untuk mendapatkan nasihat daripada doktor veterinar sebelum memilih jenis makanan, terutama jika kucing mengalami alahan, masalah pencernaan atau obesiti.
4. Penjagaan mental
Haiwan peliharaan seperti kucing juga boleh mengalami tekanan atau kemurungan, sama seperti manusia.
Oleh itu, kita perlu mengambil langkah yang efektif bagi memastikan mereka kembali ceria dan aktif.
Antaranya ialah dengan bermain bersama kucing secara kerap. Aktiviti ini bukan sahaja meningkatkan pengeluaran serotonin dalam badan mereka, malah turut membantu mengurangkan tekanan.
Sediakan juga tempat mencakar seperti cat scratch board untuk mengelakkan kucing mencakar perabot rumah. Ini membantu mereka menyalurkan emosi yang terpendam dan berasa lebih santai.
5. Grooming
Ramai pemilik haiwan memandang ringan aspek grooming, walhal ia merupakan keperluan asas yang menyumbang kepada kesihatan menyeluruh kucing.
Grooming bukan sekadar untuk kecantikan, tetapi juga berfungsi mencegah penyakit kulit, serangan parasit, dan tekanan emosi.
Antara rutin grooming yang disarankan ialah menyikat bulu secara berkala untuk mengelakkan bulu kusut dan pengumpulan bebola bulu, terutama jika kucing berbulu panjang.
Usus kucing boleh tersumbat sekiranya terlalu banyak bebola bulu terkumpul di dalam perut.
Selain itu, pembersihan telinga dan mata juga penting bagi mengelakkan pembiakan kutu atau jangkitan kulat.
Jika anda tidak berpengalaman menguruskannya, banyak pusat grooming menawarkan perkhidmatan lengkap pada harga berpatutan.
— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channeldan Telegram