Lagi syarikat tayar gulung tikar, Malaysia perlu fokus bina kapasiti R&D jika mahu bersaing


  • Bizz
  • Selasa, 29 Apr 2025

Langkah penutupan operasi syarikat pembuatan seperti Continental dilihat memberikan petanda terhadap keperluan hala tuju baharu perlu difokuskan negara khususnya dalam sektor pembuatan.  

SELEPAS lebih empat dekad, kilang tayar berpangkalan di Jerman, Continental mengumumkan untuk memberhentikan operasinya di Alor Setar, Kedah.

Dalam satu kenyataan pada Isnin, Continental memaklumkan fasiliti pengeluarannya untuk kereta penumpang, trak ringan bagi pasaran Asia Pasifik, serta tayar motosikal akan ditamatkan menjelang hujung tahun ini.

Bagi pemerhati automotif negara, Hezeri Samsuri, perkembangan tersebut dilihat memberikan petanda terhadap hala tuju baharu perlu difokuskan negara khususnya dalam sektor pembuatan. 

BACA LAGI: Bil 'modify' pernah cecah RM50,000, Outsider Bikes mampu penuhi cita rasa peminat basikal

BACA LAGI: 'Yuna peminat Liverpool', tak sampai setahun beroperasi, pasangan suami isteri di Klang pendam impian mahu setanding syarikat jersi di UK

"Hampir 1,000 staf akan terkesan, dan syarikat tengah fokus untuk bantu mereka. Continental sebenarnya ada fasiliti penyelidikan dan pembangunan (R&D) di Malaysia, dan ada hantar pasukan Malaysia ke pusat R&D mereka di Jerman.

"Ada produk Continental memang menggunakan tenaga teknikal orang kita untuk hasilkan. Kalau tanya aku, ini lebih menunjukan bahawa Malaysia dah kena fokus ke arah bidang lain macam R&D sebab kalau bidang pembuatan, tenaga buruh kita tak murah macam negara jiran," kongsinya di platform X yang mengulas mengenai perkembangan itu pada Isnin.

Pada masa sama, Hezeri berkata, langkah diambil oleh syarikat tayar berkenaan sememangnya difahami dengan mengambil kira situasi perniagaan yang dihadapi mereka terutamanya daripada segi pengawalan kos operasi.

"Produk pula perlu sensitif harga, syarikat kena cari jalan untuk turunkan kos pengeluaran dan di Malaysia memang susah sikit, melainkan kita guna pekerja asing, yang mana itu adalah sesuatu (polisi) yang kita tidak mahukan," jelasnya lagi.

Dalam kenyataan mereka mengenai penutupan kilang terbabit, Continental memaklumkan, keutamaan syarikatnya kini adalah untuk menyokong pekerjanya dengan menyediakan bantuan seperti kaunseling kerjaya.

Ia termasuk meneroka peluang pekerjaan yang berpotensi sama ada bersama Continental mahupun di luar syarikat.

Pemerhati automotif, Hezeri Samsuri. — Twitter/HezeriSamsuri

"Keputusan untuk menutup kilang tayar Continental di Alor Setar adalah hasil daripada semakan perniagaan secara terperinci yang bertujuan untuk melindungi daya saing, serta prestasi perniagaan syarikat di rantau Asia Pasifik (APAC).

"Usaha ini juga dilaksanakan untuk menyesuaikan diri dengan perubahan permintaan pelanggan.

"Syarikat juga berhasrat untuk mengoptimumkan portfolio produk tempatan dan memantau pengeluarannya," kata kenyataan itu yang turut menyatakan Malaysia akan kekal sebagai pasaran utama bagi Continental di rantau APAC.

Menurutnya, selain di Alor Setar, kilang pembuatan tayar syarikat di rantau ini juga terletak di Hefei (China), Rayong (Thailand), Modipuram (India), Kalutara (Sri Lanka), dan Petaling Jaya (Malaysia).

Untuk rekod, kilang tayar di Alor Setar memulakan operasinya pada 20 Disember 1979 dengan fasiliti pembuatan terbabit meliputi kawasan seluas kira-kira 133,000 meter persegi.

Sejak Mei 2012, kilang itu berstatus anak syarikat milik penuh Continental.

Dalam pada itu, di ruangan komen, rata-rata warganet turut berkongsi pandangan mereka berhubung perkara tersebut.

Selain menimbulkan kebimbangan mengenai nasib pekerja, ada antara mereka turut mengulas mengenai punca di sebalik penutupan kilang miliki syarikat Jerman terbabit.

"Dulu (2024) Goodyear dekat Shah Alam, sekarang Continental pulak. Semoga dipermudahkan dan dimurahkan rezeki pada pekerja di kilang berkenaan," kata Abdul Rifaie.

"Bila lambakan tayar daripada negara China dengan harga yang lebih murah masuk ke Malaysia. Maka inilah yang terjadi," tulis Mohammad Narziri.

Dalam pada itu, terdapat warganet tampil mempersoalkan bagaimana Malaysia sebagai negara pengeluar getah asli tidak mampu menawarkan pelaksanaan kos operasi pengeluaran pada harga lebih murah.

"Malaysia pengeluar getah. Bukankah lebih murah kalau Malaysia sendiri buat tayar jenama lokal ambil pekerja mahir dari Continental itu boleh ke?" soal huzirreza.

Bagaimanapun, menjawab persoalan seorang pengguna, AmAt_CiLiP menyatakan ketika ini, pembuatan tayar kebanyakannya menggunakan sebahagian besar daripada bahan getah sintetik.

Pada masa sama, penggunaan getah sintetik dalam pengeluaran tayar juga dilaporkan semakin meningkat disebabkan keperluan memenuhi standard prestasi tertentu dan kosnya yang lebih rendah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram