Kilang Continental ditutup di Alor Setar hujung tahun ini, hampir 1,000 pekerja terjejas


  • Bizz
  • Isnin, 28 Apr 2025

Kilang pembuatan tayar Continental di Alor Setar, Kedah akan menghentikan operasinya menjelang hujung tahun ini.

KILANG pembuatan tayar Continental di Alor Setar, Kedah akan menghentikan operasinya menjelang hujung tahun ini, sebagai langkah untuk menyesuaikan diri dengan perubahan permintaan pelanggan.

Continental dalam satu kenyataan memaklumkan, keputusan itu diambil selepas satu semakan perniagaan terperinci, dengan tujuan untuk mengekalkan daya saing serta prestasi perniagaan syarikat di rantau Asia Pasifik (APAC).

"Keputusan untuk menutup kilang tayar di Alor Setar adalah sebahagian daripada usaha untuk melindungi daya saing syarikat. 

BACA LAGI : Jaga ibu bapa uzur, hidup lebih lama antara faktor wanita kurang 'saving' berbanding lelaki — Penasihat kewangan

BACA LAGI : [VIDEO] Guru maut ketika beraksi di litar lumba Melaka

"Kami komited untuk menyokong pekerja dengan menyediakan bantuan seperti kaunseling kerjaya dan peluang pekerjaan, baik dalam Continental atau di luar syarikat," kata syarikat itu pada Isnin.

Kilang tersebut sebelum ini menghasilkan tayar untuk kereta penumpang, trak ringan bagi pasaran Asia Pasifik, serta tayar motosikal. 

Sejumlah 950 orang kini bekerja di fasiliti tersebut.

Continental turut mengumumkan bahawa syarikat akan mengoptimumkan portfolio produk tempatan dan memantau pengeluarannya di seluruh kawasan. 

"Meskipun menutup kilang di Alor Setar, Malaysia akan terus kekal sebagai pasaran utama bagi syarikat di rantau Asia Pasifik.

"Syarikat kami terus menegaskan komitmen terhadap pelanggan dan rakan niaga kami, dengan hubungan jangka panjang dan kepercayaan sebagai teras utama perniagaan di Malaysia," tambah kenyataan itu.

Rantau Asia Pasifik merupakan kawasan pertumbuhan strategik bagi Continental. Dengan rangkaian pembuatan tayar yang kukuh, syarikat akan terus menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan penggantian serta pelanggan peralatan asal di seluruh kawasan ini.

Selain di Alor Setar, kilang pembuatan tayar syarikat terletak di Hefei (China), Rayong (Thailand), Modipuram (India), Kalutara (Sri Lanka), dan Petaling Jaya (Malaysia).

Kilang di Alor Setar mula beroperasi pada 20 Disember 1979 dan menjadi anak syarikat milik penuh Continental sejak Mei 2012. Fasiliti pembuatan tersebut merangkumi kawasan seluas kira-kira 133,000 meter persegi.