Harga tiket RM5 selepas diskaun masih belum jamin fans hadir aksi Terengganu-Kedah


  • Podium
  • Rabu, 16 Apr 2025

Prestasi tidak menentu daripada skuad Sang Penyu menyukarkan usaha menarik penyokong ke stadium. — Facebook/Terengganu FC

SELEPAS mengharungi satu musim yang bergelora, Terengganu FC akhirnya boleh menarik nafas menjelang perlawanan akhir Liga Super 2024/25 di laman sendiri pada Ahad ini.

Mereka yang sudah mengesahkan tempat di tangga kelima perlu meraih kemenangan ke atas Kedah Darul Aman (KDA) FC untuk memberi keriangan bagi penyokong yang tidak putus memberi sorakan.

Malah, bagi membawa keriangan buat peminat, kelab Pantai Timur itu mengambil inisiatif tersendiri dengan menawarkan diskaun tiket sehingga 75 peratus bagi penyokong sendiri di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu.

BACA LAGI: Badrul tampak belum bersedia, 3 coach muda boleh jadi sasaran Terengganu

BACA LAGI: Aura Stadium MBPJ tak gentarkan Terengganu, Badrul Afzan optimis jinakkan Gergasi Merah

Berita gembira itu dikongsikan menerusi hantaran di media sosial rasmi kelab pada Selasa dengan menegaskan usaha tersebut diambil sebagai tanda penghargaan buat peminat setia skuad Sang Penyu.

"Titik noktah saingan pasukan kita pada musim ini akan menemukan kita dengan KDA FC. Aksi terakhir ini juga bakal menjadi perlawanan perpisahan antara pemain dan juga pasukan ini serta penyokong Terengganu FC. 

"Perlawanan Liga Super ini akan dilangsungkan pada 20 April di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. Pihak kelab telah memutuskan untuk menurunkan harga tiket bagi perlawanan terakhir ini dari RM20 kepada RM5," tulisnya.

Usaha berkenaan membuktikan Terengganu FC tidak berputus asa untuk memastikan penyokong terus hadir meskipun terpaksa menanggung kos besar, lebih-lebih lagi melihat kepada kehadiran dalam setiap perlawanan.

Kehadiran penyokong ke Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin kurang memuaskan musim ini. Facebook/Terengganu FC

Meskipun terdapat pengurangan agak ketara, sokongan diterima masih boleh dianggap memuaskan memandangkan skuad Sang Penyu sendiri tidak berada dalam prestasi terbaik bagi kempen kali ini.

Bagaimanapun, penerimaan penyokong terhadap usaha itu tidak memberangsangkan sehingga ada yang menyuarakan keengganan untuk hadir ke stadium meskipun sudah diberi pengurangan besar.

"Ikutlah, sekali pun ada diskaun sekali pun. Jual RM1 pun malas nak pergi, kecewa dengan musim ini. Tetapi, tidak mengapalah. Biarlah penyokong kecewa tetapi pemain gembira dengan jurulatih kali ini," kata Azli Aziz.

"Lebih baik rasanya jika saya beli makanan di luar dan hanya tonton perlawanan di televisyen, tidaklah begitu kecewa jika kalah sekali pun," kata AlMiftah Khairul.

Kali terakhir skuad Sang Penyu meraih kemenangan di laman sendiri adalah pada 22 Januari lalu. Facebook/Terengganu FC

"Anda berikan tiket percuma sekali pun, kalau dah main tidak cantik, stadium pun tidak akan penuh. Penyokong nak turun ke stadium untuk saksikan permainan berkualiti, kalau boleh nak menang," kata Che Wan Zakaria.

Prestasi Terengganu FC di laman sendiri kebelakangan ini adalah amat mengecewakan kerana kali terakhir mereka meraih tiga mata di laman sendiri adalah semasa berdepan PSM Makassar dalam saingan Piala Shopee pada 22 Januari lalu.

Selepas itu, aksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin menyaksikan skuad Sang Penyu tewas dua kali dan mencatatkan tiga keputusan seri yang pasti mematahkan semangat penyokong sendiri.

Jika Badrul Afzan Razali dapat mengubah situasi berkenaan, hasil daripadanya hanya boleh disaksikan musim depan kerana aksi menentang KDA FC itu merupakan yang terakhir bagi mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram