KONTINJEN Klang mengesahkan gelaran juara keseluruhan Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Selangor (MSSS) 2024 pada Khamis dengan kelebihan 18.5 mata mengatasi Petaling Perdana, selepas mengharungi perebutan paling sengit dalam sejarah temasya tahunan Selangor itu.
Kejayaan ini bertambah manis apabila ia merupakan kemenangan kali pertama selepas tiga tahun tewas kepada Petaling Perdana dengan Klang mengumpul keseluruhan 40 pingat emas, 27 perak dan 22 gangsa.
Petaling Perdana, juara edisi 2020, 2022 dan 2023 (2021 tiada rekod disebabkan Covid-19) terpaksa akur sebagai naib juara dengan kutipan 30-28-33, diikuti Hulu Langat (18-23-18).
BACA LAGI: [VIDEO] Hulu Selangor impikan kompleks sukan baharu, MSSS jadi medan terbaik tuntut ganjaran
BACA LAGI: [VIDEO] Warga Armenia puji penganjuran MSSS, gembira anak disenangi atlet Selangor
Manakala, kontinjen dari Petaling Utama yang mengumpul sebanyak 12 emas 30 perak dan 25 gangsa menghuni kedudukan ketiga dan Kuala Langat (10-8-8) melengkapkan kedudukan lima teratas.
Kontinjen Petaling Perdana bagaimanapun boleh berbangga apabila olahragawan dan olahragawati mereka mencipta nama sebagai pemecah rekod bagi 13 acara dalam kejohanan berkenaan.
13 acara yang menyaksikan Petaling Perdana meleburkan rekod berkenaan ialah lompat tinggi (L4), lempar Cakera (L3), 4x100 meter (m) (L3), 4x400m (L3), 100m lari berpagar (L2), lompat jauh (P4), 4x100m (P4), 200m lari berpagar (P3), lompat jauh (P3) dan 4x400m (P2), lontar peluru (P terbuka 45) dan rejam lembing (P terbuka 45).
Atlet dari kontinjen Klang pula mencatatkan 12 rekod baharu dan antaranya ialah dalam acara 200m, 1500m, 100m lari berpagar, 800m, lempar cakera, 4x400m dan 200m lari berpagar.
Menghimpunkan 10 kontinjen dari Gombak, Hulu Langat, Hulu Selangor, Klang, Kuala Langat, Kuala Selangor, Petaling Perdana, Petaling Utama, Sabak Bernam dan Sepang, kecemerlangan atlet dari negeri itu sudah membantu Malaysia mencari bakat dalam acara balapan dan padang.
Untuk rekod, selepas ini, wakil yang terpilih mewakili negeri akan berkunjung ke Perak sebagai tuan rumah kejohanan MSS Malaysia pada 18 hingga 25 Oktober depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram