
TERENGGANU FC (TFC) pastinya berhasrat untuk mendapatkan tiga mata dalam perlawanan menentang Sabah FC dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Gong Badak, Terengganu pada Jumaat.
Dengan kelebihan bermain di laman sendiri itu, skuad Sang Penyu pastinya mahu merebut tempat ketiga liga susulan pertemuan dengan skuad The Rhinos itu bakal menjadi penentu penutup musim 2024/2025 TFC.
Perbezaan hanya satu mata dengan Sabah FC, namun jika tewas, perjalanan untuk menamatkan saingan liga di tempat ketiga boleh tertutup, lebih-lebih lagi mereka diekori rapat pasukan di tangga kelima, Kuching City FC.
BACA LAGI: Terlalu lama hilang, Ivan Mamut sudah pulang ke Eropah?
BACA LAGI: ‘Jumpa anda di Johor’, Ivan Mamut bagi petunjuk ketuai serangan Terengganu jumpa JDT
Sabah FC kini berada di tempat ketiga dengan kelebihan empat mata meninggalkan Terengganu di kedudukan keempat, manakala skuad The Cats pula mengutip 30 mata selepas 20 perlawanan Liga Super.
Misi mendapatkan tiga mata di halaman sendiri itu juga nampaknya semakin bersedia apabila penyerang import mereka iaitu Ivan Mamut dilihat gigih melakukan latihan menjelang aksi menentang Sang Penyu.
Menerusi video yang dimuat naik oleh penyokong Sang Penyu pada platform media sosial, menunjukkan penyerang kelahiran Croatia itu berlatih sendirian bersama salah seorang kakitangan jurulatih Terengganu.
Bagaimanapun, hasil penelitian Majoriti mendapati bahawa video berkenaan rupanya video lama yang difahamkan latihan persediaan sebelum perlawanan menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) pada 1 Februari lepas bagi pusingan separuh akhir kedua Piala Malaysia.
Walaupun video lama, ia menunjukkan bahawa penyokong Sang Penyu rata-ratanya merindui sentuhan penyerang berusia 28 tahun berkenaan selepas Mamut diketepikan hampir satu musim dek isu kecederaan.
Sebelum ini, penyerang tinggi lampai berkenaan difahamkan hampir kembali untuk beraksi selepas kelibatnya kembali kelihatan di padang latihan sebelum pertembungan menentang Harimau Selatan.
Mamut (tengah) masih menanti peluang untuk beraksi buat Terengganu. — Facebook/TFC
Kepulangannya sudah tentu amat diharapkan penyokong Sang Penyu yang tidak sabar-sabar untuk menyaksikan gandingannya dalam barisan serangan bersama Akhyar, Safawi Rasid serta Ismaheel Akinade.
Musim lalu, Ivan Mamut menjadi tonggak utama Terengganu FC setelah menjaringkan 22 gol dalam 30 penampilan peringkat domestik, termasuk dalam final Piala Malaysia 2023 menentang JDT di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram