
DALAM kalangan masyarakat berketurunan Syed dan Syarifah, isu perkahwinan sesama sendiri sering menjadi topik perbincangan terutama berkaitan usaha mengekalkan keturunan ahlul-bait iaitu keturunan Rasulullah SAW melalui cucunya Saidina Hassan dan Hussain.
Nama Syed bagi lelaki dan Syarifah bagi perempuan bukan sekadar gelaran, malah membawa nilai sejarah dan kehormatan tersendiri.
Atas dasar itu, ada dalam kalangan keturunan itu berusaha memastikan kelangsungan nasab mereka dengan hanya berkahwin sesama Syed dan Syarifah.
BACA LAGI: Muntah susu normal atau petanda masalah lain? Ketahui cara atasinya, perut bayi selesa, ibu gembira
Seorang pengguna di Threads, Syarifah Alhabshee meluahkan cabaran dihadapi dalam usaha mencari jodoh dalam kalangan lelaki keturunan Syed.
“Susah betul Syarifah nak cari Syed ni. Mostly Syed semua kahwin dengan yang bukan Syarifah,” tulisnya.
Perkara itu turut disokong pengguna lain, Qaqa Luereyqa yang menyatakan bahawa jika perkahwinan berlaku antara Syed dan individu bukan Syarifah, nama keturunan tersebut khususnya anak perempuan tidak lagi membawa gelaran Syarifah sehingga menyebabkan nasab itu dianggap 'terputus'.
Warga maya, Farafalil pula menjelaskan bahawa keluarganya menggunakan nama 'Mior' dan 'Mainur' bagi anak lelaki dan perempuan sebagai cara meneruskan keturunan apabila seorang Syarifah berkahwin dengan lelaki kebanyakan.
“Keluarga atok saya belah ibu Mior. Katanya sebab maknya Syarifah kahwin dengan orang kebanyakan. Sepupu saya semua Mior dan Mainur,” kongsinya.
Bagi pengguna lain, Mimosapudica85 tindakan untuk menjaga nasab dilihat sebagai hak peribadi yang wajar dihormati.
“Hak dia lah nak jaga nasab keturunan. Sibuk la keluar hadis bagai. Islam pun galakkan jaga keturunan, macam raja kahwin dengan darah raja kalau tak mahu hilang keturunan,” tulisnya.
Dari sudut hukum Islam, perkahwinan antara Syed dan bukan Syarifah adalah sah.
Ini kerana rukun dan syarat nikah tidak menetapkan keperluan untuk perkahwinan hanya berlaku dalam kalangan Syed dan Syarifah.
Namun, konsep sekufu iaitu kesetaraan dalam latar belakang keluarga, status dan agama sering dijadikan pertimbangan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram