[VIDEO] 'Freekick' Rice bantu Arsenal tewaskan Madrid, rupanya pernah berguru dengan bintang Man United


  • Podium
  • Rabu, 09 Apr 2025

Rice (kanan) pernah menjalankan latihan bersama Fernandes pada Julai 2023. — Agensi

WAKIL England, Arsenal selangkah ke separuh akhir Liga Juara-Juara UEFA (UCL) selepas mengejutkan juara bertahan, Real Madrid 3-0 pada aksi suku akhir pertama di Stadium Emirates, London, England pada Rabu.

Skuad The Gunners memperoleh kemenangan besar itu hasil dua sepakan percuma tonggak tengah mereka iaitu Declan Rice yang menerjah gawang yang dijaga Thibaut Courtois pada minit ke-58 dan 70 permainan.

Selain itu, bintang Sepanyol, Mikel Merino juga memastikan Arsenal selesa dengan gol ketiga sebelum Real Madrid terus ditimpa masalah apabila Eduardo Camavinga dilayangkan kad merah di penghujung perlawanan.

BACA LAGI: Arsenal sedia pancing peledak sensasi Wolves tapi terima saingan hebat kelab 'Top 4 EPL'

BACA LAGI: Thomas Tuchel kritik Arsenal terlebih 'perah' khidmat pemain utama

Dua sepakan percuma daripada Rice itu melayakkan dirinya dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan. Lebih manis apabila pemain tengah itu tidak pernah menjaringkan gol menerusi sepakan percuma sepanjang kariernya sebelum ini.

Jaringan 'roket' pemain berusia 26 tahun berkenaan menjadi topik perbincangan hangat dalam kalangan penyokong bola sepak global hingga ada yang mendakwa bahawa ia terhasil selepas Rice pernah berguru dengan bintang Manchester United iaitu Bruno Fernandes.

Dalam satu hantaran yang dimuat naik oleh laman X, Amorim's Reds, menyiarkan foto tonggak Arsenal itu pernah menjalankan latihan bersama ketua pasukan Man United berkenaan pada Julai 2023.

Memetik laporan media dua tahun lalu itu, Rice kagum dengan Fernandes apabila dia mempamerkan teknik mengagumkan semasa sesi latihan santai mereka di Portugal menjelang musim baharu Liga Perdana Inggeris musim 2023/2024.

Dalam satu rakaman video tular di media sosial, Fernandes dilihat melakukan sepakan voli yang menakjubkan dengan menyaksikan Rice menunjukkan reaksi teruja terhadap kemahiran pemain Portugal tersebut.

Malah, bintang Portugal itu juga sebelum ini mencetak gol menerusi sepakan percuma yang menarik ketika perlawanan seri 1-1 menentang Arsenal bagi saingan EPL pada 10 Mac lepas. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram