
KEPUTUSAN Ketua Jurulatih Perak FC, Yusri Che Lah untuk mengekalkan Nur Azfar Fikri Azhar membuahkan hasil apabila The Bos Gaurus (TBG) bangkit menewaskan Kuala Lumpur City FC 2-1 dalam saingan Liga Super 2024.
Perlawanan yang berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur Cheras pada Ahad itu menyaksikan Perak menunjukkan kebangkitan luar biasa.
Azfar yang mengalami kecederaan tetap diteruskan dalam perlawanan tersebut dan manisnya menjadi wira apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-80.
BACA LAGI: [VIDEO] Bukan sahaja gah atas padang, 3 bintang JDT pamer sikap rendah diri
Perak FC berhasil membuat kebangkitan luar biasa di Cheras dan meraih kemenangan 2-1 ke atas The City Boys. — Facebook/Perakfc
Keputusan Yusri mengekalkan Azfar, walaupun dalam keadaan cedera terbukti tepat apabila pemain muda itu memberikan impak besar kepada kemenangan Perak.
"Saya dimaklumkan oleh pembantu jurulatih saya, Shahrulnizam Mustapha bahawa Azfar mengalami kecederaan lutut, tetapi saya kata kita tunggu dulu.
"Walaupun cedera, saya memerlukannya untuk mengimbangi permainan dan itu adalah keputusan yang tepat. Saya rasa itu rezeki dia dan saya gembira untuknya.
"Dia layak mendapat gol itu dengan persembahan baik hari ini. Memang jarang Perak menang di Cheras. Kami kekalkan permainan yang mudah dan pemain memberikan yang terbaik," katanya.
Dalam aksi penuh dramatik itu, tuan rumah terlebih dahulu mendahului pada minit ke-31 menerusi jaringan Paulo Josue yang berhasil menembusi pintu gawang Perak.
Azfar (dua kiri) muncul wira buat Perak FC pada penghujung perlawanan di Cheras dengan meledak gol kemenangan. — Facebook/Perakfc
Pada minit ke-71, Azfar dijatuhkan oleh Declan Lambert di dalam kotak penalti, namun pengadil perlawanan, Shukor Zulkiflee menolak protes pemain Perak dengan alasan Azfar berada di posisi ofsaid.
Setelah semakan VAR selama dua minit, sepakan penalti akhirnya diberikan dengan Declan dilayangkan kad kuning.
Kapten pasukan, Luciano Guaycochea menyempurnakan sepakan penalti itu pada minit ke-77 untuk menyamakan kedudukan 1-1.
Azfar kemudian muncul sebagai wira apabila berjaya melepasi tiga pemain pertahanan The City Boys sebelum menyudahkan dengan jaringan sempurna menewaskan penjaga gol Azri Ghani tiga minit kemudian.
Perak FC kekal menghuni tangga ketujuh dalam carta dengan 27 mata selepas 22 perlawanan. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram