'Bermula dari sebuah telefon', kes budak hamilkan sepupu cetus kerisauan masyarakat


  • Massa
  • Rabu, 09 Apr 2025

Mohd Yusoff memaklumkan kes sumbang mahram di Kelantan juga kini semakin membimbangkan.

PADA Rabu, negara dikejutkan dengan laporan mengenai kes seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun yang didakwa menghamilkan sepupunya yang berusia 15 tahun di Kelantan.

Pendedahan menggemparkan mengenai insiden yang berlaku pada minggu lalu itu dibuat oleh Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat.

Dalam satu sidang media, beliau memaklumkan kanak-kanak lelaki terbabit sudah ditahan bagi membantu siasatan manakala sepupunya pula diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

BACA LAGI: [VIDEO] Polis Seremban tahan anggota tentera tumbuk pemandu wanita tak sengaja langgar anak, isteri

BACA LAGI: [VIDEO] 'Saya orang Malaysia, asal Jerantut Pahang', Abang Belon sayu difitnah warga asing, tiada IC

Sementara itu, beliau memaklumkan kes sumbang mahram di Kelantan juga kini semakin membimbangkan.

Lebih merisaukan, beliau berkata, saban tahun kejadian rogol melibatkan golongan bawah umur juga berlaku kerana suka sama suka dan bukannya paksaan.

"Tahun lepas sebanyak 252 kes direkodkan manakala tahun sebelumnya (2023) 206 kes. Tahun ini, dari Januari hingga Mac sudah meningkat 15.6 peratus jika dibandingkan tempoh yang sama pada 2024," katanya seperti dilaporkan media.

Menurut beliau, hasil siasatan pihak polis mendapati 98 peratus kes rogol di Kelantan berlaku kerana suka sama suka.

Ujarnya, lebih membimbangkan apabila kes tersebut melibatkan mangsa di bawah umur serta terdapat trend kanak-kanak perempuan mencari lelaki.

Laporan tersebut ternyata mendapat perhatian yang meluas dalam kalangan masyarakat yang rata-ratanya melahirkan kerisauan terhadap perkembangan yang berlaku.

Turut berkongsikan sentimen sama adalah aktivis kanak-kanak, Syed Azmi Alhabshi.

Menurut beliau, trend tersebut sememangnya merupakan sesuatu yang cukup ditakutinya sejak sekian lama terlibat dalam kerja-kerja memelihara kebajikan kanak-kanak khususnya yang berada di bawah umur.

Aktivis kanak-kanak, Syed Azmi Alhabshi. — Epic Journal

Dalam hantaran terbaharunya di Facebook, beliau turut berkongsikan mengenai pandangan seorang peguam, Asiah Abd Jalil mengenai fakta berkaitan kes tersebut.

"Dari dulu Mi amat takut ini berlaku. Dan kalau belajar undang-undang, lagi menakutkan," tulisnya pada Rabu.

Menerusi hantaran yang dikongsikan mengenai kes tersebut, Asiah memaklumkan bahawa berdasarkan undang-undang, kanak-kanak lelaki terbabit tidak boleh ditangkap dan didakwa di bawah kesalahan merogol.

Ujarnya, perkara itu dijelaskan di bawah Seksyen 113 Akta Keterangan 1950 yang menganggap bahawa kanak-kanak di bawah umur 13 tahun sebagai tidak berupaya melakukan rogol.

Dalam pada itu, di media sosial, rata-rata warganet menganggap perkembangan membimbangkan itu berpunca daripada pendedahan tidak terkawal golongan bawah umur terhadap penggunaan telefon pintar.

"Bermula dari sebuah telefon. Awasi anak-anak kita!" tulis Salalatus Salatin.

"Aku salahkan ibu bapa yang bagi telefon pintar dekat anak seawal 8 tahun tanpa pantau kandungan apa yang mereka tengok di YouTube, TikTok dan lain-lain.

"Anak rosak sebab ibu bapa biarkan anak dengan telefon pintar.

"Bila anak-anak pandai WhatsApp sesama kawan, mesti akan ada budak yang ajar benda bukan-bukan," kata Mior Hezri. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram