
SEORANG lelaki berusia 31 tahun telah dijatuhkan hukuman penjara lima bulan dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret, Kuala Lumpur selepas mengaku bersalah mengugut bekas isteri pelawak dan pelakon Harith Iskander melalui mesej teks.
Majistret S. Mageswary memerintahkan Izzuddin Md Salim menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkapannya pada 24 Januari, serta tambahan satu bulan penjara sekiranya gagal membayar denda.
Menerusi kertas pertuduhan, tertuduh telah menghantar mesej WhatsApp berserta gambar yang mengandungi kata-kata ugutan yang membawa maksud akan melakukan perbuatan rogol dan bunuh.
BACA LAGI: 'Payslip' berubah, gaji minimum baharu RM1,700 manfaat lebih 4 juta pekerja bermula Sabtu
BACA LAGI: [VIDEO] Tinggalkan legasi 14 tahun bersama Puma, Antoine Griezmann kini duta but Decathlon
Mesej tersebut diterima oleh Dr Jezamine Lim, yang mana tindakan tertuduh dikategorikan sebagai ugutan jenayah.
Kandungan WhatsApp tersebut kemudian dibaca oleh Lim, yang merupakan bekas isteri Harith, di sebuah restoran di sini pada jam 8.50 pagi pada 23 Januari.
Pertuduhan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman maksimum penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.
Selepas tertuduh mengaku bersalah, kenyataan fakta kes dibacakan kepadanya.
Majistret Mageswary kemudian bertanya kepada Izzuddin sama ada dia mengesahkan kenyataan fakta dalam kes tersebut.
Tertuduh bersetuju bahawa fakta itu adalah benar.
"Betul, niat saya hanya untuk memainkan emosinya (Harith). Saya tiada niat lain," kata Izzuddin. — The Star/NURBAITI HAMDAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram