[VIDEO] Kawasan ‘hotspot’ kemalangan: PLUS perlu letak lebih banyak 'signage'


  • Massa
  • Selasa, 08 Apr 2025

Tangkap layar kemalangan ngeri di Kilometer 403 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, dari Tanjung Malim ke Lembah Beringin pada Selasa. 

ORANG ramai menggesa pihak PLUS Malaysia Berhad (PLUS) untuk mengambil tindakan segera dengan menambah lebih banyak papan tanda keselamatan di kawasan kerap berlaku kemalangan. 

Desakan itu dibuat susulan insiden kemalangan ngeri di Kilometer 403 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, dari Tanjung Malim ke Lembah Beringin pada Selasa. 

Kemalangan membabitkan sebuah treler, lori tiga tan dan sebuah kereta itu meragut nyawa seorang lelaki warga Bangladesh berusia 30 tahun, yang merupakan kelindan lori tersebut.

BACA LAGI : Lelaki cari rakaman dashcam, anak saudara parah terjatuh ‘flyover’ dihimpit treler di Klang

BACA LAGI : [VIDEO] Kereta dinaiki 3 beradik terbalik dihimpit MPV di Lebuhraya PLUS, seorang kritikal di ICU

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan punca kemalangan masih dalam siasatan pihak berkuasa.

Insiden itu menambah lagi senarai kemalangan di kawasan berkenaan yang sebelum ini turut mencatatkan beberapa kejadian ngeri. 

Penduduk sekitar dan pengguna lebuh raya melahirkan kebimbangan terhadap tahap keselamatan di laluan tersebut yang sering menjadi lokasi kemalangan maut.

Rata-rata netizen juga mula bersuara di media sosial, mendesak PLUS untuk menilai semula reka bentuk jalan serta menambah langkah keselamatan seperti papan tanda amaran, paparan kelajuan, dan garisan kuning bergetar bagi memperlahankan kenderaan berat.

"Kawasan panas, PLUS kena letak lebih banyak 'signage' (papan tanda amaran) di kawasan ini," kata Scrawny Yen

Seorang pengguna Facebook, Affiy Ijat turut menggesa pihak kerajaan memandang serius isu kemalangan tersebut. 

"Nyawa pengguna jalan raya bukan perkara main-main. Jangan tunggu ada lagi yang terkorban baru nak ambil tindakan," tulisnya. 

Terdahulu, media melaporkan Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.27 tengah hari Selasa.

"Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu telah digerakkan ke lokasi kejadian.

"Empat individu lain berusia antara 18 hingga 52 tahun turut mengalami kecederaan, termasuk seorang dalam keadaan serius. 

"Kesemua mangsa telah dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram